GEORGE TOWN, 22 Feb (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini selepas menjalani prosedur pemasangan sten.
Anak bongsunya Husna berkata bapanya dipindahkan ke HPP empat hari lepas dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Perlis bagi menjalani prosedur pemasangan sten pada bahagian arteri paha susulan kecederaan di kawasan itu.
“Prosedur itu berjaya dilaksanakan dan abah (Hashim) kini dipantau rapi di ICU berikutan keadaan jantung yang semakin lemah selain komplikasi kesihatan lain. Alhamdulillah, prosedur sudah berjaya namun keadaan masih tidak stabil dan menerima rawatan.
“Saya mewakili keluarga memohon maaf kerana tidak dapat membenarkan sebarang ziarah buat masa ini atas nasihat doktor memandangkan keadaan abah yang sangat tidak stabil,” katanya menerusi video di TikTok hari ini.
Hashim, 87, dilantik sebagai Mursyidul Am PAS keempat pada 10 Okt 2016 oleh Majlis Syura Ulama PAS susulan pemergian Allahyarham Datuk Dr Haron Din pada 16 Sept tahun sama.
Husna berkata bapanya dimasukkan ke HTF pada 7 Feb selepas mengalami keuzuran sejurus pulang daripada beberapa mesyuarat dan program di Kuala Lumpur.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata hasil pemeriksaan mendapati bapanya mengalami serangan jantung dan fungsinya pada tahap kira-kira 35 peratus bagaimanapun prosedur angiogram tidak dapat dilakukan segera berikutan keadaan jantung yang terlalu lemah dan berisiko tinggi.
Selain itu, Hashim turut mengalami komplikasi buah pinggang, masalah paru-paru dan hati malah bacaan kreatinin melebihi 400 dan paras urea yang tinggi menyebabkan lemah serta mengantuk, sekali gus memerlukan rawatan dialisis ringan selepas keadaan stabil.
“Ketika persiapan untuk dialisis dibuat, berlaku kecederaan pada bahagian arteri di paha yang memerlukan pemasangan sten menyebabkan abah dipindahkan ke HPP dan menjalani dialisis ringan selama tiga jam setiap sesi selain menerima rawatan antibiotik berikutan jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.
Beliau berkata prosedur angiogram masih belum dapat dilaksanakan kerana dikhuatiri memberi tekanan tambahan kepada jantung yang lemah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial