POLITIK > BERITA

DAP Kecewa Pindaan Had Tempoh 10 Tahun Jawatan PM Gagal Diluluskan - Loke

05/03/2026 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- DAP hari ini menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) untuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam hantaran di Facebook rasmi parti berkenaan berkata pendirian itu disuarakan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP malam tadi. 

“DAP menyeru kerajaan untuk membentangkan semula RUU tersebut dalam Sidang Parlimen yang akan datang untuk merealisasikan agenda reformasi yang penting ini,” katanya dalam hantaran itu. 

Pada Isnin lepas, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata keputusan undi belah bahagian menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.

Pindaan Perlembagaan berkenaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.

Semalam Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan dibentang semula pada sesi Dewan Rakyat seterusnya Jun ini. 

Perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan