KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Pertemuan melibatkan parti-parti Melayu dan Islam semalam, menjadi platform untuk berkongsi serta mengukuhkan agenda nasional kerajaan, khususnya berkaitan isu agama Islam dan kepentingan bumiputera, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata pertemuan itu bertujuan memberi penjelasan kepada pemimpin parti Melayu-Islam mengenai dasar serta langkah yang dilaksanakan parti-parti Islam dalam Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun pentadbiran.
“Perkara-perkara ini perlu dikongsi bersama dengan mereka kerana kita tidak mahu ada tanggapan bahawa Melayu tergugat dan Islam terancam… kerana ia merupakan isu bersama.
“Kalau pun terdapat kekurangan, mesti ada cadangan bagaimana ia harus diperkukuh, bukan dengan serangan dari luar berdasarkan ketidakfahaman mengenai isu-isu yang dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi pertemuan Timbalan Perdana Menteri bersama warga pengurusan tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata pertemuan itu juga bagi memastikan semua pihak mempunyai fakta yang tepat mengenai dasar kerajaan supaya sebarang isu dapat dibincangkan secara konstruktif.
Beliau berkata pendekatan dialog berkenaan merupakan langkah awal untuk membina kefahaman bersama antara parti-parti Melayu-Islam, terutama yang berada di luar kerajaan.
Semalam, lapan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan bumiputera dari pelbagai blok politik berhimpun dalam Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Kesemua parti itu ialah UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial