ISKANDAR PUTERI, 6 Mac (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Johor menubuhkan empat jawatankuasa termasuk Johor MADANI sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hasan berkata tiga lagi ialah Jawatankuasa Agihan Kerusi, Jawatankuasa Isu dan Komunikasi serta Jawatankuasa Penyelaras Menteri Persekutuan.
Beliau yang juga Pengerusi Amanah Johor berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat PH Johor di sini hari ini.
“Kita meletakkan mereka yang berpengalaman, yang ada pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengetuai jawatankuasa yang ditubuhkan.
“Penubuhan jawatankuasa ini bertujuan memperkemas gerak kerja parti menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu dan Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama Media Johor di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi PH Johor yang juga Pengerusi DAP negeri Teo Nie Ching dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Aminolhuda berkata Jawatankuasa Johor MADANI ditubuhkan bagi memastikan Johor bergerak selari dengan konsep Malaysia MADANI diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dasar pembangunan, ekonomi, pendidikan serta kestabilan politik dapat disampaikan dan difahami dengan lebih jelas oleh rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas ADUN Bukit Naning yang juga Timbalan Pengerusi MPN PKR Johor Ysahrudin Kusni.
Beliau berkata melalui Johor MADANI, pihaknya mahu memastikan agenda pembangunan dan dasar kerajaan dapat difahami serta dihayati rakyat.
Dalam pada itu, Aminolhuda berkata PH Johor mengusulkan agar PRN dan PRU dilaksanakan serentak bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan serta memudahkan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan rakyat untuk mengundi.
“Kalau dua kali pilihan raya bermakna semua parti yang terlibat perlu mencari dana dan pelaksanaannya secara berasingan dikhuatiri boleh mengganggu kelancaran urusan pentadbiran kerajaan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata PH Johor selaku pengimbang akan mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat melalui Ketua Pengimbang Johor Andrew Chen Kah Eng.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial