JOHOR BAHRU, 4 April (Bernama) -- Himpunan bantah kenaikan harga bahan api yang dianjurkan pihak pembangkang tidak membantu dalam menangani isu kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor Faezuddin Puad berkata situasi tersebut, bukan hanya berlaku di Malaysia sebaliknya melibatkan banyak negara lain, termasuk negara pengeluar minyak yang turut mengambil langkah pelarasan harga dan menyemak semula harga bahan api.
“Selain itu, syarikat tenaga seperti Saudi Aramco dan Sonatrach Algeria dilaporkan menaikkan harga rasmi LPG antara 38 hingga 80 peratus. Negara ASEAN juga berdepan cabaran sama. Filipina telah mengisytiharkan darurat tenaga manakala Thailand, Indonesia dan Singapura melaksanakan pelarasan harga bahan api masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan dengan itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuang masa dengan hadir ke himpunan yang tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya menjadi pentas pembangkang menunggang kemarahan rakyat.
“Hakikatnya, sampai hari ini pembangkang gagal mengemukakan walau satu cadangan alternatif yang benar-benar serius boleh membantu rakyat menghadapi krisis ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial