KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil menekankan kepentingan kepada setiap ahli parti itu agar menjadi sebahagian daripada pasukan yang responsif dan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat.
Beliau berkata setiap ahli juga perlu terus menggilap idealisme dan tidak membiarkan benih rasuah menyusup masuk serta memusnahkan semangat reformasi.
“Jangan benarkan sikap, terutama bibit-bibit rasuah, merosakkan semangat reformasi. Ini peringatan untuk kita semua termasuk diri saya supaya sentiasa berusaha memastikan bukan hanya kestabilan dari segi politik, tapi usaha dan ikhtiar yang kita berikan kepada rakyat itu berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan 2026 PKR Cabang Gombak, di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan bahawa tindakan serta tingkah laku pemimpin sentiasa diperhati serta dinilai oleh rakyat pada setiap masa.
Selain itu, beliau juga mengingatkan pemimpin dan ahli PKR di semua peringkat supaya tidak leka atau terbuai dengan kedudukan selesa sehingga melupakan akar umbi serta matlamat asal perjuangan parti.
"Meskipun parti ini telah menerajui pentadbiran Selangor sejak 2008, namun setiap pemimpin, baik daripada peringkat akar umbi hingga kepimpinan tertinggi, wajib mengekalkan kestabilan serta perpaduan yang utuh,” katanya.
Sementara itu Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menyifatkan Cabang Gombak sebagai kubu kuat PKR dan berharap ia terus utuh dalam membangunkan Selangor, selain memperkukuh parti daripada elemen yang cuba menggugat integriti.
“Saya bangkitkan perkara ini sebagai peringatan, walaupun Selangor ditadbir sejak 2008 dan Keadilan Gombak kukuh, kita tidak boleh leka atau selesa sebagai pemerintah.
“Kita semua mewakili pemimpin, bukan sahaja (Menteri Besar Selangor) Datuk Seri Amirudin Shari, tetapi juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial