KOTA KINABALU, 25 April (Bernama) -- Terdapat beberapa parti politik telah mengemukakan permohonan untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata perkembangan tersebut mencerminkan landskap politik negeri itu yang terus kekal dinamik.
“Saya fikir orang akan datang dan pergi, tetapi buat masa ini sudah ada permohonan baharu daripada parti politik yang lain.
"Tetapi, biarlah Pengerusi GRS (Datuk Seri Hajiji Noor) yang umumkan bila masa sesuai,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Malam Gala anjuran Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Cawangan Sabah di sini hari ini.
Justeru, Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri II dan Menteri Kewangan Sabah berkata keputusan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) untuk keluar daripada GRS adalah sebahagian daripada realiti politik yang sentiasa berubah dan sukar diramal.
“Maksudkan ialah politik ini sangat berubah-ubah dan dinamik. Kadang-kadang kita tidak dapat nak ramal apa yang akan berlaku selepas hari esok. Jadi, walaupun saya berharap mereka kekal bersama, kami tetap menghormati keputusan mereka untuk keluar daripada GRS. Saya fikir kita berpisah sebagai kawan dan bukan sebagai musuh, itu paling penting,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai yang turut hadir berkata beliau menghormati keputusan USNO dan menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik.
“Kita juga faham alasan yang diberi adalah tidak lagi serasi. Bagi kita di GRS, kita akan terus menumpukan usaha menyatupadukan semua parti dan masyarakat di Sabah. Kita tidak akan hilang fokus,” katanya.
Pada Rabu lepas, Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengesahkan partinya telah meninggalkan GRS semasa pertemuan dengan Hajiji.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial