POLITIK > BERITA

Kemelut Politik N Sembilan: UMNO Cadang Pertemuan Segera Biro Politik UMNO, PH

30/04/2026 09:30 AM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Satu pertemuan antara Biro Politik UMNO dan Pakatan Harapan (PH) harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu melibatkan prinsip perjuangan parti masing-masing, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata perkara itu seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menuntut isu dasar diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan, yang diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia bagi membincangkan kemelut politik di Negeri Sembilan malam tadi.

Asyraf Wajdi berkata UMNO memandang serius perkembangan mutakhir melibatkan kemelut institusi diraja dan adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

“UMNO telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan (Datuk Seri Jalaluddin Alias) mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Aminuddin Harun) kerana sikap beliau membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

“UMNO berpendirian untuk menghormati ADUN BN yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata UMNO sentiasa berpegang teguh kepada asas Perlembagaan parti menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.

Isnin lepas, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

Ia susulan kemelut pemerintahan yang berlaku dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Setiausaha DUN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa (28 April) menjelaskan bahawa Aminuddin akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar seperti dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan