POLITIK > BERITA

PKR Perkenal "TERAS" Sistem Dipacu AI Menjelang Pilihan Raya Akan Datang

02/05/2026 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memperkenalkan Sistem Pilihan Raya ‘TERAS’, satu sistem bersepadu yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan pilihan raya dan kecekapan operasi parti menjelang pilihan raya akan datang.

Dalam satu kenyataan, PKR memaklumkan bahawa sistem yang diilhamkan oleh Timbalan Presidennya Nurul Izzah Anwar itu merupakan satu sistem operasi kempen pilihan raya berasaskan data yang dibangunkan untuk menyokong keseluruhan ekosistem kempen parti, daripada pengurusan data pengundi hingga pelaksanaan kerja lapangan serta komunikasi bersasar.

Menurut PKR sistem tersebut direka sebagai tunjang institusi yang berkekalan bagi parti, dibina bukan hanya untuk satu kitaran pilihan raya tetapi akan terus bertahan melangkaui peralihan individu mahupun kepimpinan.

“TERAS merupakan satu sumbangan penting kepada masa depan PKR, memastikan kekuatan organisasi parti, aset data dan keupayaan strategiknya kekal utuh serta terus berkembang dari generasi ke generasi.

“Dengan pengintegrasian teknologi dan AI sebagai teras, sistem ini membolehkan pendekatan kempen yang lebih tersusun, responsif dan berasaskan data, namun dengan peringatan bahawa kejayaan mana-mana parti tetap bergantung kepada sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti dan bagaimana ia memahami masalah rakyat,” menurut kenyataan itu.

PKR memaklumkan ujian perintis yang dijalankan bulan lepas di dua lokasi menunjukkan potensi yang kukuh dalam memetakan sentimen pengundi, walaupun penambahbaikan masih diperlukan dalam aspek seperti pengesahan data secara automatik.

Sistem tersebut juga menunjukkan tahap respons yang tinggi semasa ujian, dengan keupayaan menangani isu teknikal dengan cepat, sekali gus membolehkan pengurus kempen memberi lebih tumpuan kepada perancangan strategik dan gerak kerja lapangan berbanding urusan pentadbiran.

Walau bagaimanapun, parti itu menegaskan bahawa pencapaian ‘Objektif Latihan Minimum’ kekal penting bagi memastikan sistem ini dapat digunakan dengan berkesan oleh jentera akar umbi tanpa memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi.

“Dengan pelancaran TERAS, PKR melangkah ke hadapan dengan tekad yang jelas, untuk menggabungkan kekuatan nilai-nilai kita dengan keupayaan teknologi dan jentera parti, sekali gus membina sebuah gerakan politik yang lebih tersusun, responsif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan