KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dijadual bermesyuarat minggu hadapan, akan membincangkan pelbagai isu semasa, termasuk status jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ketua Sekretariatnya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pertemuan berkenaan penting, bagi meneliti perkara berkaitan dasar serta pendirian antara parti dalam kerajaan, selain menyentuh isu melibatkan institusi diraja dan adat di negeri berkenaan.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata sebarang perbincangan akan berlandaskan semangat perjanjian persefahaman (MoU) pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menekankan penyelesaian perbezaan atau perselisihan melalui Majlis Perundingan Pimpinan.
“Insya-Allah, pertemuan akan diadakan minggu depan dan pelbagai aspek akan dibincangkan secara menyeluruh dan perkara itu, (status jawatan Menteri Besar) mungkin antara yang dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Sebelum ini, UMNO menggesa agar satu pertemuan antara Biro Politik parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) diadakan segera, bagi merungkai kemelut di Negeri Sembilan.
Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar seperti yang diperkenankan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial