GEORGE TOWN, 9 Mei (Bernama) -- Parti Progresif Penduduk (PPP) akan mengemukakan pelan hala tuju parti (blueprint) itu kepada Barisan Nasional (BN) minggu depan, yang merangkumi tujuh teras utama termasuk tadbir urus hijau, keterjaminan ekonomi, kos sara hidup berpatutan serta keterjaminan makanan.
Presidennya Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata blueprint berkenaan disediakan susulan permintaan kepimpinan BN semasa sesi pemukiman gabungan itu pada Februari lepas dan kini berada pada peringkat akhir perbincangan.
“Blueprint itu telah siap dan akan dibincangkan dalam mesyuarat PPP hari ini. Jika tiada sebarang pindaan, ia akan diserahkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Batu Ferringhi hari ini.
Beliau berkata antara perkara lain yang terkandung dalam blueprint itu ialah kebergantungan terhadap sektor agromakanan bagi memenuhi keperluan nutrisi, selain pendidikan sebagai pemangkin dalam meningkatkan taraf kehidupan serta kesamarataan.
PPP merupakan parti komponen BN sejak 1974, namun perebutan teraju kepimpinan sebelum ini membawa kepada pembatalan pendaftaran parti itu sehingga menyebabkan ia terkeluar daripada gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, awal tahun ini Ahmad Zahid mengesahkan bahawa parti yang ditubuhkan sejak 1953 itu kembali menjadi salah satu parti komponen BN. PPP kini mempunyai kira-kira 320,000 ahli di seluruh negara dengan hampir 47 peratus terdiri daripada golongan muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial