POLITIK > BERITA

Empat Lagi Wakil Rakyat, Pemimpin Bersatu Dipecat Dan Digantung

11/05/2026 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Lembaga Disiplin Bersatu hari ini memecat serta menggantung keahlian empat lagi wakil rakyat dan pemimpin parti itu berkuat kuasa hari ini.

Mereka yang dipecat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas yang juga Ketua Bahagian Ketereh Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi dan Ketua Armada Bahagian Parit Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin.

Dua wakil rakyat yang digantung keahlian selama dua penggal pemilihan Bersatu pula ialah Ahli Parlimen Mersing Muhammad Islahuddin Abas serta ADUN Bukit Bunga yang juga Ketua Bahagian Jeli Mohd Almidi Jaafar. 

Menurut Lembaga Disiplin Bersatu, tindakan itu diambil atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli. 

Sementara itu, Muhammad Islahuddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima surat penggantungan keahlian tersebut dan berkata beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Jumaat lepas, Lembaga Disiplin Bersatu memecat serta menggantung keahlian beberapa wakil rakyat dan pemimpin parti itu antaranya ADUN Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani, ADUN Sungai Tiang Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hulu Langat Muhammad Faiz Rahmad.

Lima Ahli Parlimen pula digantung hak-hak keahlian iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh).

Turut digantung ADUN Kuala Sepetang Ahmad Man dan ADUN Chenderoh Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.

Rosol dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan beliau tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan parti itu yang menggantung keahliannya.

Sementara itu, Wan Meor Safwat Naqiuddin ketika dihubungi berkata beliau menerima notis pemecatan pada 4 petang menerusi aplikasi WhatsApp.

“Bagi saya, pemecatan ini bersifat terpilih kerana kesalahan saya ialah menghadiri Reset sebelum ini... rakan lain yang melakukan kesalahan sama tidak dipecat sebaliknya hanya digantung atau diberikan amaran.

“Saya telah balas notis tunjuk sebab yang dikeluarkan parti,” katanya.

Beliau juga mendakwa Bersatu tidak lagi bercakap mengenai perjuangan rakyat sebaliknya hanya fokus menyelamatkan segelintir pimpinan untuk terus bertahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan