ISKANDAR PUTERI, 4 Jun (Bernama) -- MCA Johor menafikan pernah mengeluarkan surat senarai nama cadangan calon parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti yang tular dalam media sosial hari ini.
Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Johor Ling Tian Soon menyifatkan surat itu sebagai dokumen palsu yang dipercayai dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Johor saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai senarai tersebut. MCA tidak pernah mengeluarkan surat itu dan ia dipercayai merupakan ciptaan pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Biasalah, apabila tiba musim pilihan raya pelbagai spekulasi dan dokumen palsu akan ditularkan," katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor 2026 di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda MCA pusat itu berkata MCA Johor telah mengenal pasti calon lebih awal dan senarai cadangan telah diserahkan kepada Barisan Nasional (BN) untuk proses tapisan dan pertimbangan lanjut.
Beliau berkata cadangan calon yang dikemukakan adalah berdasarkan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi MCA pada pilihan raya sebelum ini.
Hari ini, tular dalam media sosial senarai nama calon MCA yang akan bertanding pada PRN Johor, termasuk Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang didakwa akan bertanding di DUN Skudai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial