PUTRAJAYA, 5 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) kini giat mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata segala aspek persiapan jentera akan digerakkan secara optimum memandangkan notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kedua-dua negeri itu dibuat dalam tempoh singkat.
“Setakat laporan semalam, kita buat (persiapan jentera) sedaya upaya kita walaupun untuk Johor itu notis yang singkat.
“Saya menyeru rakan-rakan dalam pimpinan kerajaan tumpu soal ekonomi, masalah rakyat. Kita (sebenarnya) ada masa untuk tumpu dua tiga bulan lagi bagi memulihkan (keadaan), kemudian pilihan raya. Tetapi Johor mahu (PRN) segera,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti Puchong dekat sini hari ini.
Mengulas mengenai Mesyuarat Biro Politik PKR semalam, Anwar yang juga Presiden PKR berkata intipati utama perbincangan adalah tertumpu kepada soal perkembangan PRN di kedua-dua negeri berkenaan.
“Kita bincang perkembangan di Johor (dan) keperluan untuk perkasa pasukan, kemudian juga kemungkinan masa itu pembubaran Negeri Sembilan. Sekarang sudah bubar, jadi kita persiapkan pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Isnin lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi, berkuat kuasa pada 1 Jun setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pula mengumumkan DUN Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial