POLITIK > BERITA

Kerajaan Perpaduan Kekal Pegang Muafakat, Tidak Akan Khianati Rakan Politik - PM

10/06/2026 11:28 PM

Daripada Mohd Iswandi Kasan Anuar

TOKYO, 10 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kepimpinan Kerajaan Perpaduan kekal komited mempertahankan muafakat sedia ada dan tidak akan mengambil sebarang langkah yang boleh dianggap mengkhianati rakan-rakan politik dalam gabungan kerajaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata setakat ini, kerajaan kekal kukuh dengan semua pihak terus menghormati persefahaman yang telah dipersetujui demi memastikan kestabilan politik negara.

“Saya belum dengar lagi apa-apa pandangan malah Jemaah Menteri, dari segi pimpinan yang ada dalam Jemaah Menteri itu tuntas, konsisten menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan di peringkat kebangsaan harus kukuh,” kata beliau yang juga Presiden PKR pada sidang media di sini hari ini.

Kerajaan Perpaduan, yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, terdiri daripada PH, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa parti lain.

Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan bahawa beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Bersatu akan menyertai PKR susulan perkembangan hubungan politik antara parti itu dan PAS.

Pada Isnin lepas, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa parti itu secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.

Dalam pada itu, Anwar berkata pendekatan gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan kekal berteraskan rundingan, perbincangan dan kerjasama yang baik tanpa mengamalkan budaya memutuskan hubungan secara tergesa-gesa.

“Kita dalam politik nak cerai, talak, kahwin itu bagi saya bukan cara kitalah... kita runding dengan baik, bincang dengan baik, kerjasama dengan baik... setakat ini, Kerajaan Perpaduan masih teguh walaupun di peringkat negeri dah ada yang berbeza pendapat sedikit,” katanya sambil menambah sebarang keputusan di peringkat negeri adalah tanggungjawab pimpinan masing-masing.

Perdana Menteri juga berkata fokus utama kerajaan ketika ini ialah pelaksanaan agenda pembangunan negara termasuk komitmen antarabangsa dan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi.

Beliau dijadualkan menghadiri mesyuarat ASEAN-Rusia di Kazan minggu depan sebelum ke Turkmenistan bagi meneroka peluang kerjasama dalam sektor tenaga khususnya berkaitan potensi sumber gas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan