POLITIK > BERITA

PRN Johor: Calon PH Jamin Perling Terus Jadi Komponen Strategik Greater Johor Bahru

30/06/2026 04:30 PM

JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling Alan Tee Boon Tsong tekad memastikan kawasan itu terus menjadi komponen strategik dalam agenda pembangunan Greater Johor Bahru jika dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata kedudukan Perling yang terletak di koridor utama pertumbuhan ekonomi negeri menjadikannya kawasan amat penting untuk terus dibangunkan demi kesejahteraan penduduk setempat serta mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih mampan.

“Kesinambungan pembangunan di DUN ini seperti dibawa penyandangnya (Liew Chin Tong) adalah kritikal memandangkan Perling berfungsi sebagai antara pusat penghubung utama bagi sektor perniagaan, perumahan dan rangkaian pengangkutan dalam ekosistem Greater Johor Bahru.

“Kita mahu memastikan agenda pembangunan di sini diperkasakan, dari aspek infrastruktur merangkumi kemudahan rakyat hingga kepada peluang ekonomi berimpak tinggi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PH di DUN Perling di sini.

Tee berkata antara perkara yang menjadi keutamaannya ialah meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada golongan muda dengan membawa masuk pelabur berimpak tinggi yang mampu memberikan gaji lebih kompetitif.

“Langkah ini sekali gus dapat mengelakkan lebih ramai anak muda atau penduduk berhijrah mencari pekerjaan di Singapura,” katanya.

Selain perancangan makro tersebut, Tee berkata keutamaan beliau juga adalah untuk menguruskan isu setempat demi keselesaan seharian komuniti Perling.

“Antaranya ialah menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kenderaan di Pasar Awam Taman Perling serta mewujudkan taman rekreasi awam yang lebih kondusif untuk komuniti setempat beriadah dan melakukan program kemasyarakatan,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, penyandang kerusi itu Liew yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri memberi laluan kepada Tee untuk bertanding di DUN Perling.

DUN Perling yang mempunyai 109,992 pemilih berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Tee, calon Barisan Nasional (BN) P. Pannir Selvam dan Boo Wei Han mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N46: PERLING - 109,992 pengundi

1. P. Pannir Selvam (BN-MIC)

2. Alan Tee Boon Tsong (PH-DAP)

3. Boo Wei Han (Bersama)

(2022: Liew Chin Tong: PH-DAP: Maj: 3,347)

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan