KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Pendekatan diplomasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggabungkan ketegasan moral, hujah berasaskan undang-undang antarabangsa, tekanan diplomatik serta komitmen terhadap bantuan kemanusiaan dalam menangani krisis Gaza wajar mendapat sokongan.
Profesor Kehormat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Dr Mizan Aslam berkata krisis Gaza bukan lagi sekadar konflik Israel-Palestin, sebaliknya menjadi gambaran kegagalan undang-undang antarabangsa, kelemahan institusi global dan ketidakupayaan kuasa besar melindungi orang awam.
Berdasarkan data terkini, selepas 1,000 hari perang di Gaza, seramai 73,066 orang terbunuh, 173,514 cedera, 5,400 mengalami kecacatan dan amputasi serta 8,922 keluarga menjadi mangsa serangan dan daripada jumlah kematian itu, 21,730 merupakan kanak-kanak, manakala 45,113 lagi cedera dengan 59,054 kanak-kanak menjadi anak yatim.
"Dalam masa sama, lebih 90 peratus infrastruktur Gaza musnah, dengan 81 peratus struktur keseluruhan rosak atau musnah, 92 peratus rumah kediaman terjejas, hampir 90 peratus infrastruktur air dan sanitasi rosak serta 91 peratus isi rumah berdepan krisis bekalan air.
“Keadaan ini menunjukkan Gaza kini berdepan krisis perlindungan orang awam, kesihatan awam dan kemanusiaan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai pendirian Malaysia, Mizan berkata kepimpinan Anwar turut diterjemahkan melalui sokongan terhadap tindakan Afrika Selatan membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung dakwaan pelanggaran Konvensyen Genosid 1948.
Langkah itu, katanya, memperlihatkan Malaysia bukan sekadar mengecam di pentas politik, malah menyokong mekanisme undang-undang antarabangsa bagi memastikan wujudnya pertanggungjawaban terhadap dakwaan jenayah kemanusiaan.
Beliau berkata Anwar turut mengangkat isu Gaza melalui saluran diplomasi pelbagai hala, termasuk Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam, dengan menggesa tindakan lebih tegas bagi menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin, memperkukuh sokongan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap pihak yang terus membekalkan senjata.
"Dalam isu seperti Gaza, pengaruh sebuah negara sederhana seperti Malaysia boleh diperluaskan melalui gabungan suara masyarakat antarabangsa," katanya.
Mizan berkata pendekatan Perdana Menteri juga bersifat praktikal apabila terus menekankan kepentingan rundingan diplomatik, pembebasan aktivis kemanusiaan serta penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin.
Katanya, komitmen itu diperkukuh melalui peruntukan awal RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza, ketika 1.97 juta penduduk wilayah itu berdepan ketidakjaminan makanan akut, termasuk 641,000 orang berada pada tahap kebuluran atau malapetaka.
Beliau berkata Gaza turut merekodkan 466 kematian akibat malnutrisi, 17,800 kes malnutrisi kanak-kanak bawah usia lima tahun sepanjang 2025 serta 68,996 kes malnutrisi teruk dalam kumpulan sama sehingga Mei 2026.
Mengulas keadaan sistem kesihatan Gaza, Mizan berkata sebanyak 40 hospital dan 158 pusat penjagaan kesihatan primer menjadi sasaran, dengan 825 pelanggaran direkodkan terhadap kemudahan kesihatan, mengorbankan 1,723 petugas kesihatan manakala 362 lagi ditahan.
Katanya, pendirian Malaysia tidak terhenti kepada tuntutan gencatan senjata semata-mata, sebaliknya menegaskan keperluan penyelesaian politik yang menyeluruh melalui pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan berdaya maju.
Pendekatan itu selari dengan konsep "ketidakberpihakan aktif", iaitu dasar luar yang membolehkan Malaysia membuat pendirian berasaskan prinsip, nilai dan kepentingan negara, khususnya dalam mempertahankan perlindungan orang awam, akses bantuan kemanusiaan, pertanggungjawaban undang-undang serta hak rakyat Palestin untuk hidup sebagai sebuah negara berdaulat.
Malaysia mungkin tidak mampu menghentikan krisis Gaza secara bersendirian, namun negara mampu memastikan isu itu terus dibawa ke mahkamah, persidangan antarabangsa, ruang diplomatik dan kesedaran masyarakat dunia.
“Itulah sumbangan utama diplomasi Anwar, iaitu menukar solidariti kepada tindakan yang boleh dipertanggungjawabkan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial