POLITIK > BERITA

PRN Johor: Gempur Saat Akhir Menangi Hati Pengundi

10/07/2026 08:55 PM

JOHOR BAHRU, 10 Julai (Bernama) -- Persaingan merebut mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 memasuki fasa pecutan akhir hari ini, menyaksikan kesemua calon dan pimpinan parti melancarkan strategi saat akhir bagi menawan hati pengundi sebelum tempoh berkempen tamat secara rasmi pada 11.59 malam ini.

Mengetuai jentera Pakatan Harapan (PH), Pengerusinya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan siri jelajah di lima lokasi strategik bagi memberi suntikan moral terakhir kepada calon gabungan itu.

Jelajah berkenaan bermula dengan program di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gambir sebelum beralih ke Bukit Batu dan DUN Layang-Layang, seterusnya dijadual berakhir menerusi 'Program Grand Finale Johor Ke Depan, Undi Harapan' di Pasir Gudang, malam ini.

Anwar menerusi hantaran di Facebook turut mendoakan agar segala urusan pasukan PH bagi menghadapi hari pengundian esok dipermudahkan.

Sementara itu, calon PH bagi DUN Larkin Suhaizan Kaiat memilih pendekatan santai menerusi aktiviti ramah mesra di sekitar pusat beli belah di bandar raya ini, diiringi Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Suhaizan menyifatkan segala teguran dan pandangan yang diterima sepanjang tempoh berkempen sebagai amanah besar yang akan dipikulnya jika diberi mandat.

Bagi kem Barisan Nasional (BN), Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memilih pendekatan kerohanian, dengan menghadiri majlis 'Munajat Perdana dan Doa Selamat BN' di daerah Kulai, malam ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Timbalan Perdana Menteri itu menyeru seluruh Bangsa Johor keluar menunaikan tanggungjawab esok, selain mengingatkan mereka supaya merancang perjalanan susulan ramalan cuaca yang tidak menentu.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), cuaca di kebanyakan kawasan dijangka baik pada sebelah pagi namun berpotensi mengalami hujan atau ribut petir pada sebelah petang.

Nada penuh tawaduk turut dizahirkan calon BN bagi DUN Machap yang juga memikul tugas Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menerusi hantaran video di Faceook, beliau secara terbuka memohon maaf kepada seluruh rakyat Johor sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang tempoh pentadbirannya.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyeru rakyat Johor supaya membuat  keputusan tepat dalam memilih parti yang akan memimpin kerajaan negeri.

"Dalam tempoh dua minggu (calon) berkempen, (saya harap) pengundi sudah kumpul data dan maklumat parti yang bertanding, yang mana satu mereka akan pilih," katanya menerusi hantaran video di Facebook.

Dalam pada itu, parti Bersama memilih untuk menutup tirai kempen mereka menerusi 'Ceramah Finale BERSAMA' yang menampilkan gandingan pemimpin utama, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Insya-Allah, dalam ucapan terakhir saya di PRN Johor ini, saya akan merangkumkan, mengupas dan mematahkan semua isu yang telah dibawa sepanjang pilihan raya ini," katanya.

Tidak ketinggalan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang turut menonjolkan taring terakhir mereka menerusi acara kemuncak 'Ceramah Grand Finale Puteri Wangsa', dengan Presidennya Amira Aisya Abd Aziz mengingatkan rakyat negeri itu tentang kuasa mutlak yang ada pada mereka.

Sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN pada PRN Johor ke-16 esok. Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan