SUKAN > BERITA

Nidzam Kecewa Selangor Gagal ‘Bunuh’ Perlawanan Berdepan PDRM

20/10/2024 12:08 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Pengendali Selangor FC Nidzam Jamil tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya, selepas skuad Gergasi Merah gagal membawa pulang tiga mata ketika bertemu PDRM FC pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di sini, semalam.

Nidzam berkata Selangor gagal ‘membunuh’ perlawanan lebih awal, selepas mensia-siakan banyak peluang terhidang untuk melebarkan kedudukan, sebelum dihukum pada saat-saat akhir perlawanan sekali gus terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata.

“Kita sepatutnya kill the game lebih awal, peluang yang terhidang kita dapat kita tak gunakan sebaiknya dan kita (juga) dapati ia bukan senang untuk lawan PDRM di tempat lawan…tapi kita tak nak cakap pasal perkara lain cuma kita perlu perbaiki bagaimana untuk kuasai perlawanan.

“Dalam bola sepak kalau ada peluang tak ambil betul-betul, dan tempo minit ke minit akan berubah … tetapi satu mata lebih baik daripada tiada, tetapi kami tidak puas hari dibolosi pada saat akhir,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di sini.

Pada pertembungan semalam, gol penyamaan pemain gantian PDRM FC Aremu Timothy Oluwaseun pada masa tambahan babak kedua perlawanan, menafikan kemenangan buat Selangor selepas gol pembukaan mereka menerusi Alvin Fortes pada minit ke-16.

Dalam pada itu, Nidzam berharap pasukannya mempelajari sesuatu daripada perlawanan semalam, selain mengingatkan mereka supaya mengutamakan keputusan berbanding gaya permainan.

Selangor kini menghuni tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 26 mata selepas 12 perlawanan dan ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang baru bermain 11 perlawanan.

Selepas ini Selangor akan bertemu kelab Korea Selatan Jeonbuk Hyundai Motors FC dalam aksi ketiga Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2) 2024/25 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu depan.

Empat hari kemudian, anak buah Nidzam akan melayani kunjungan JDT dalam aksi tumpuan Liga Super di Stadium MBPJ pada Ahad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan