SUKAN > BERITA

SOJC : Malaysia Terpaksa Akur Tewas 1-4 Kepada Jepun

20/10/2024 11:48 PM

JOHOR BAHRU, 20 Okt (Bernama) --Skuad Young Tigers masih belum meraih kemenangan pertama pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) selepas tewas 1-4 kepada Jepun dalam aksi kedua di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, malam ini.

Kekalahan kedua berturut-turut selepas tunduk 2-3 kepada New Zealand pada aksi pembukaan semalam, menyukarkan laluan skuad remaja negara untuk mara ke pentas final apabila bakal berdepan India, Great Britain dan Australia.

Dalam dua suku pertama, perlawanan antara skuad I. Vickneswaran dan pasukan bimbingan Yoshihiro Anai itu berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan mencipta peluang gol.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan untuk mencetak sebarang gol pembukaan biarpun Malaysia memperoleh empat pukulan sudut penalti berturut-turut seawal minit ketujuh yang gagal disempurnakan oleh  Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof.

Suku ketiga menyaksikan  Muhamad Adam Ashraf  Mohd Johan berjaya meletakkan Malaysia di depan menerusi gol padang pada minit ke-35, namun kelebihan yang dimiliki skuad Young Tigers tidak bertahan lama apabila Hyota Yamada bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti strok empat minit kemudian.

Jepun mula melancarkan serangan dan sekali lagi memecah kubu pertahanan pada minit ke-43 menerusi gol padang Yuto Higuchi.

Skuad Matahari Terbit itu terus menekan benteng pertahanan negara dan melebarkan jurang gol hasil jaringan padang Yamato pada minit ke-48 dan pukulan sudut penalti Koyo Nishida tiga minit kemudian.

Terdahulu, perlawanan petang tadi menyaksikan India menewaskan Great Britain 6-4 manakala Australia dan New Zealand seri 2-2.

Perlawanan seterusnya bagi skuad Malaysia adalah menentang India pada Selasa ini sementara Jepun bakal berdepan Australia dan New Zealand akan bertemu Great Britain.

Skuad remaja lelaki kebangsaan kini berdepan lima negara tersebut bagi merebut kejuaraan edisi ke-12 yang berlangsung sehingga 26 Okt ini.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan