SUKAN > BERITA

Abigail Buktikan Wanita Pun Hebat Dalam Gusti Lengan

22/10/2024 07:44 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 22 Okt (Bernama) -- Tidak dinafikan sukan gusti lengan sering kali dikaitkan dengan golongan lelaki kerana memerlukan kekuatan tangan dengan majoriti atlet dilihat memiliki badan yang besar atau ‘sado’.

Namun begitu bagi jaguh gusti lengan negara, Abigail Kee Zing Ning, 20, penglibatan wanita dalam sukan berkenaan bukanlah penghalang untuk kaum itu menyerlahkan sisi keanggunan mereka, tidak kira di dalam atau luar gelanggang. 

“Bila sebut sukan gusti lengan, ramai wanita fikir atlet berbadan besar dengan penampilan ‘tomboy’ tapi itu salah… anda boleh jadi juara, dan pada masa yang sama cantik jelita.

“Dalam gelanggang memanglah muka ada garang sikit, tetapi kami masih mahu berhias seperti wanita lain,” kata anak jati Kuching itu kepada Bernama baru-baru ini. 

Sudah berkecimpung dalam sukan gusti lengan sejak 2012, nama Abigail cukup disegani setelah berjaya meraih 40 pingat secara keseluruhan, melibatkan pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Atlet muda itu berkata bapanya Dr Stephen Kee Chu Kiong yang juga ahli gusti lengan pada tahun 90-an telah mendorong beliau menjinakkan diri dalam sukan itu sehinggalah adik bongsunya Acho Prince Kee Zing Yang, 18, turut mengikuti jejak langkahnya pada 2021. 

Lebih manis, Abigail dan Acho telah mengharumkan nama negara apabila masing-masing memenangi pingat gangsa bagi lengan kanan kategori atas 70 kilogram (kg) (Bawah 21) dan 86kg (Junior Bawah 18) di Kejohanan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) 2024 di Greece pada awal Oktober.

“Waktu itu (IFA) memang rasa kami dua datang untuk kalah saja sebab badan atlet luar negara lagi besar dan ‘menakutkan’, jadi tak sangka kami boleh kalahkan peserta lain dan dapat gangsa… ini antara pencapaian terbesar kami di peringkat antarabangsa,” kata Acho. 

Bagi Abigail yang kini menuntut di Institut Seni Lukis Malaysia (MIA), sukan yang diceburi sejak usia 12 tahun itu menjadikannya lebih yakin dengan diri sendiri meskipun memiliki saiz tubuh badan yang besar sejak kecil.

“Sebelum ini saya memang introvert, duduk di rumah dan hanya melukis, tetapi selepas menyertai sukan armwrestling ini, saya buat banyak kawan dan jadi becok kerana rasa lebih yakin.

“Dulu saya selalu rasa saya gemuk dan kurang yakin… bila masuk sukan ini latihan di gim menjadikan saya lebih kuat secara fizikal dan menerima bentuk badan saya,” katanya yang pernah mengalami kecederaan paling serius iaitu tendon koyak di pergelangan tangan kanan pada 2019.

Sementara itu Acho mengakui sukan berkenaan menguji ketahanan mental serta memerlukan disiplin yang tinggi dengan sesi latihan diadakan setiap minggu bersama jurulatih Dominic Johnny. 

Tidak lagi mahu bertanding di acara gusti lengan, anak bongsu itu kini ingin memberi fokus sebagai pengadil di sukan berkenaan, selain menjadi jurulatih kakaknya di pertandingan selepas ini. 

“Saya masih mahu terlibat dalam sukan ini, bukan sebagai peserta tetapi pengadil.. saya dah pernah jadi pengadil senior di peringkat antarabangsa, jadi saya akan teruskan,” katanya yang telah menggondol 22 pingat secara keseluruhan.

Kedua-dua beradik itu berharap lebih ramai anak muda di Malaysia khususnya golongan wanita didedahkan dengan sukan gusti lengan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan