SUKAN > BERITA

SOJC: Young Tigers Tewas Kali Keempat, Misi Buru Podium Musnah

23/10/2024 11:25 PM

JOHOR BAHRU, 23 Okt (Bernama) -- Misi skuad Young Tigers untuk memburu kedudukan podium  musnah selepas tewas 2-1 kepada Great Britain dalam aksi keempat Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini malam ini.

Empat kekalahan berturut-turut dalam kejohanan itu menyaksikan skuad remaja lelaki kebangsaan hanya akan bersaing  dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam.

Terdahulu pada perlawanan malam ini, Great Britain memulakan serangan dan membuka tirai jaringan pada minit ke-15 suku pertama menerusi pukulan penalti strok yang disempurnakan Kaden Draysey.

Bagaimanapun, Young Tigers tidak berputus asa dan menyamakan kedudukan dua minit kemudian melalui gol padang Che Nur Aqilrullah pada minit ke-17.

Skuad bimbingan I Vikneswaran hampir mendahului perlawanan apabila diberikan pukulan sudut penalti pada minit ke-27, namun tolakan Mohd Nabil tersasar, menafikan peluang keemasan tersebut.

Memasuki suku ketiga, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada jaringan dihasilkan.

Great Britain akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada suku keempat melalui gol padang Monty Neave pada minit ke-53, sekali gus mengekalkan keputusan 2-1 sehingga wisel penamat.

Dalam perlawanan terdahulu, India yang mendahului carta dengan rekod bersih dikejutkan dengan kekalahan 4-0 kepada Australia manakala New Zealand menewaskan Jepun 3-1.

Young Tigers kini menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata dan dijadualkan menentang Australia pada Jumaat ini sementara Jepun akan berdepan Great Britain dan New Zealand bakal bertemu India.

Skuad remaja kebangsaan bersaing dengan lima negara lain dalam edisi ke-12 SOJC yang akan berakhir Sabtu ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan