SUKAN > BERITA

Raja Saidatul Mardiah Dilantik Penaung Diraja RHBA

24/10/2024 09:31 AM

SUNGAI BULOH, 24 Okt (Bernama) -- Raja Saidatul Mardiah Sultan Idris A'fifullah dilantik sebagai Penaung Diraja Akademi Badminton Roslin Hashim (RHBA).

Menurut baginda, persetujuan itu diberikan selepas melihat potensi dimiliki kelab yang bukan sahaja dikendalikan oleh bekas pemain nombor satu dunia malah menghimpunkan pemain muda yang berbakat.

“Saya berharap dengan keberadaan saya di sini mungkin Roslin Hashim Badminton Academy akan pergi lebih jauh. 

“Saya juga harap boleh bantu pemain-pemain di bawah naungan akademi itu. Besar harapan saya untuk melihat pemain-pemain ke peringkat lebih jauh,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani pelantikan di sini semalam.

Menurut baginda, RHBA bukanlah kelab sukan pertama dinaunginya memandangkan baginda turut menaungi beberapa kelab dari sukan lain seperti taekwondo dan permotoran.

Raja Saidatul Mardiah adalah puteri ke-13 Almarhum Sultan Idris A'fifullah, Sultan Perak ke-33 yang menjadi wanita pertama menjuarai pertandingan Panglobal Alex Yoong F1 Driver Search pada 2005 dengan catatan 1 minit 05.86 saat (s).

Beliau juga satu-satunya wanita yang menyertai Merdeka Millenium Endurance (MME) di Sepang, pada 2009.

Sementara itu Roslin berkata pihaknya berbesar hati apabila Raja Saidatul Mardiah sudi menerima tawaran untuk menjadi penaung akademinya.

“Matlamat saya dengan Yang Amat Mulia Engku adalah sama untuk membangunkan bakat. Dengan pelantikan ini saya harap akademi RHBA boleh berkembang dengan baik dan boleh pergi lebih jauh,” katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan