SUKAN > BERITA

TODAK Berpotensi Jadi Hab Pembangunan E-sukan Di Malaysia - Adam Adli

24/10/2024 12:42 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

CYBERJAYA, 24 Okt (Bernama) -- TODAK berpotensi menjadi pusat sehenti dalam memperkenal dan mendedahkan rakyat Malaysia kepada bidang sukan elektronik(e-sukan), menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Adam Adli berkata kemudahan yang disediakan TODAK merupakan elemen penting untuk menarik minat dan memperkasa pemahaman masyarakat mengenai industri yang sedang berkembang pesat itu.

“Apa yang saya boleh rumuskan, masyarakat di luar sana perlu tahu dan didedahkan dengan kemudahan yang TODAK sediakan merangkumi TODAK Academy dan TODAK Studios. Saya harap TODAK terus menggalakkan masyarakat untuk tahu tentang e-sukan.

“Ini kali pertama saya ke sini dan bila lihat kemudahan yang TODAK ada, saya terkejut. Dengan adanya sebuah hab seperti ini, kita boleh jangkakan beberapa tahun akan datang, masyarakat akan belajar lebih (mengenai e-sukan),” katanya kepada Bernama ketika menjadi tetamu audio siar ‘Langgar Je’ dikendalikan oleh Danial Aizat Rames Abdullah atau lebih dikenali Abang Lord di sini baru-baru ini.

Audio siar ini merupakan sebuah inisiatif TODAK di bawah penerbitan Kelab Sukan Elektronik TODAK yang dinaungi Pengasasnya Khairul Azlan Zainal.

Adam Adli yang meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat kemudahan hab TODAK, diiringi Khairul Azlan yang juga Pengarah Eksekutif TODAK Holdings Sdn Bhd, berkata e-sukan mampu menarik minat semua lapisan masyarakat khususnya generasi muda dan ibu bapa.

“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan bantu KPM (Kementerian Pendidikan) untuk kenal pasti apa bentuk permainan elektronik yang sesuai diperkenalkan di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada atlet e-sukan dari Kelab Sukan Elektronik TODAK yang akan menyertai Playoffs Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia Musim Ke-14 di Johor pada 31 Okt hingga 3 Nov ini.

“Selamat maju jaya buat pasukan TODAK untuk MPL di Johor. Pastikan kita menang dan saya percaya tahun ini kita akan tutup dengan pelbagai lakaran kejayaan (dalam e-sukan),” katanya.

TODAK ditubuhkan dengan matlamat melahirkan lebih banyak tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak industri semasa, khususnya di TODAK Academy.

Pelajar di akademi itu akan menjalani latihan selama tiga bulan, dibimbing oleh tenaga pengajar dari pelbagai latar belakang termasuk industri berkaitan dan juga ahli akademik lain sebelum dianugerah Sijil Profesional UTMSPACE, Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Tiga dan Sijil TODAK.

Selain itu, TODAK Studios sedang membangunkan permainan elektronik iaitu Mastra yang kini berada pada fasa closed Beta dengan objektif menjadikannya sebagai permainan elektronik pertama tempatan yang diiktiraf sebagai platform e-sukan Malaysia. Ia dijangka diumumkan pada pertengahan tahun depan.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan