SUKAN > BERITA

ACL2: Selangor Jinakkan Jeonbuk, Rampas Kedudukan Pendahulu Kumpulan H

24/10/2024 10:03 AM

PETALING JAYA, 23 Okt (Bernama) --Selangor FC merampas kedudukan teratas Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25 apabila merakam kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC 2-1, di sini malam ini.

Kemenangan penting di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu membolehkan Gergasi Merah bimbingan Nidzam Jamil memintas Jeonbuk di kedudukan pertama kumpulan dengan kelebihan hanya satu mata selepas tiga perlawanan.

Pada aksi tumpuan itu, permainan berhati-hati bertukar menjadi rancak memasuki 15 minit terakhir babak pertama apabila ketua pasukan Harith Haiqal meletakkan Selangor di depan selepas menyudahkan umpanan Umarbek Eshmurodov pada minit ke-30.

Berselang tiga minit kemudian, pasukan pelawat kendalian Kim Do-heon yang hilang arah dibolosi kali kedua selepas lorongan cantik Nooa Laine disudahkan dengan baik Ali Olwan di dalam kotak penalti untuk melebarkan kedudukan Selangor.

Bagaimanapun, kedudukan selesa itu tidak bertahan lama apabila Jeonbuk merapatkan kedudukan selepas hantaran lintang cantik Jung Woo-jae dari sebelah kiri disempurnakan Kwon Chang-hoon menerusi tandukan yang gagal diselamatkan penjaga gol Muhammad Azim Al Amin pada minit ke-40.

Harith kemudian terlepas peluang untuk menjaringkan gol peribadi keduanya selepas penjaga gol Jeonbuk Kim Jeong-hoon bertindak cemerlang untuk menyelamatkan tandukannya berpunca sepakan penjuru tiga minit sebelum rehat sekali gus kedudukan kekal 2-1.

Anak buah Nidzam terus kempunan dalam usaha mencari gol ketiga selepas percubaan dari luar kotak penalti Nikola Jambor pada minit ke-50 hanya menggegar palang. 

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan kemenangan milik Selangor, Jeonbuk hampir meragut kegembiraan itu selepas tendangan dari luar kotak penalti pemain gantian Han Seok-jin pada masa tambahan babak kedua sekadar menggegarkan tiang.

Kemenangan diraih Selangor malam ini turut menyaksikan pasukan itu terus mengekalkan rekod kemenangan di tempat sendiri dalam semua pertandingan musim ini. 

Sementara itu, satu lagi aksi Kumpulan H menyaksikan Muangthong United dari Thailand terikat 2-2 menentang wakil Filipina Dynamic Herb Cebu di Bangkok, malam ini.

Selangor kini menerajui saingan Kumpulan H dengan mengumpul tujuh mata, diikuti Jeonbuk kedua (enam mata), Muangthong United ketiga (dua mata) dan Dynamic Herb Cebu tercorot selepas mengutip satu mata.

Selepas ini, Selangor akan bertandang ke Jeonbuk manakala Dynamic Herb Cebu akan melayani kunjungan Muangthong United di Manila, masing-masing pada 7 Nov depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan