SUKAN > BERITA

Perisikan, Penyiasatan Langkah Strategik ADAMAS Bendung Penggunaan Bahan Terlarang

24/10/2024 01:32 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Pendekatan baharu seperti perisikan dan penyiasatan adalah antara langkah strategik Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dalam membendung penggunaan bahan terlarang dalam sukan, bukan sahaja dalam kalangan atlet tetapi juga pengamal gaya hidup sihat.

Pendekatan serius ini penting kerana penggunaan bahan terlarang seperti anabolik steroid dan sibutramine masih berlaku malah lebih membimbangkan apabila cara penggunaan, biohacking dan flush atau cuci didapati diajar melalui platform media sosial seperti TikTok.

Biohacking merujuk kepada pelbagai cara memanipulasi biologi tubuh untuk meningkatkan prestasi, termasuk penggunaan bahan terlarang manakala teknik flush pula bertujuan menyembunyikan kesan doping sebelum ujian dilakukan.

Sukan seperti angkat berat dan bina badan merupakan antara sukan berisiko tinggi penggunaan steroid untuk mendapatkan keputusan dalam masa singkat.

Bekas Pengarah ADAMAS Azura Abidin berkata pada masa ini hanya atlet didapati positif doping dipanggil untuk sesi pendengaran dan dikenakan tindakan seperti penggantungan namun pembekal atau sindiket terlibat seolah-olah terlepas daripada tindakan.

“Jika kita lihat di luar negara seperti di Eropah, mereka sudah lama buat perisikan dan penyiasatan bukan hanya dalam dadah biasa tetapi juga dalam sukan. Di Poland misalnya, mereka pernah serbu makmal yang memproses anabolik steroid dengan kerjasama Interpol (Polis Antarabangsa). 

“Dengan semakan Kod Anti-Doping Dunia yang bakal berkuat kuasa pada 2027, ADAMAS sedang menyemak kod tersebut dengan tambahan skop baharu. Ia juga akan memerlukan tambahan staf jika dilaksanakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bermula 14 Okt selepas lima tahun mengemudi ADAMAS berkata pelaksanaan peluasan skop kerja itu memerlukan kerjasama daripada beberapa agensi lain seperti polis, Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azura turut menekankan tindakan proaktif Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) yang merampas steroid anabolik tidak berdaftar dengan KKM bernilai RM2.3 juta di beberapa premis di Johor Bahru pada Julai lepas dalam memerangi penggunaan dadah berkenaan tanpa kebenaran. 

Mengulas mengenai pengambilan bahan terlarang, Azura berkata terdapat dua senario iaitu pengambilan secara sengaja untuk meningkatkan prestasi, menambahkan otot dan mengurangkan berat badan atau pengambilan secara tidak sengaja menerusi suplemen, ubat-ubatan atau produk lain. 

“Apa yang kita cuba nak buat adalah mengelakkan kes tidak sengaja ini. Berdasarkan kes sebelum ini, ada yang positif antaranya kerana suplemen, produk pelangsing badan mahupun kecantikan yang banyak dijual sama ada melalui kaunter atau secara dalam talian.

“Apabila KKM haramkan atau serbu sesuatu jenama, mereka akan pasarkan balik produk berkenaan atas nama lain tetapi kandungannya sama. Terlalu banyak untuk dibendung,” katanya sambil menambah bahawa atlet para lebih peka dan ambil berat mengenai ubat-ubatan dan suplemen yang diambil. 

Sementara itu, Azura mengesa pihak penganjur pertandingan termasuk di peringkat amatur supaya meningkatkan pendidikan kesedaran mengenai penggunaan bahan terlarang serta mempromosikan pertandingan secara bersih. 

“Sekarang ini semua benda nak cepat, seperti mendapatkan badan yang cantik, kurus, membina otot atau meningkatkan prestasi sama ada di peringkat sosial mahupun atlet. Jadi ada yang guna suplemen untuk mempercepatkan proses itu.

“Penggunaan steroid untuk jangka panjang bukan sahaja boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan seperti kerosakan organ dalaman termasuk hati, buah pinggang dan jantung, tetapi juga meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, kegagalan hormon dan masalah psikologi seperti kemurungan dan agresif,” katanya.

Selain itu, beliau berkata penggunaan bahan terlarang boleh mencemarkan imej dan keseluruhan ekosistem sukan yang terlibat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan