SUKAN > BERITA

Hon Jian-Haikal Enggan Fikir Soal Jelajah Dunia Akhir BWF, Fokus Dapatkan Rentak Permainan

25/10/2024 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal Nazri, enggan terlalu memikirkan peluang untuk layak ke Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila kembali menyertai pertandingan pada awal November ini, di Masters Korea.

Muhammad Haikal berkata walaupun peluang itu tetap ada, mereka mahu memberi fokus untuk mendapatkan semula rentak permainan setelah berehat lebih sebulan akibat kecederaan.

“Sebelum ini, sebelum pergi ke China Open, memang ada sasaran untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF. Namun sekarang, saya cakap dengan dia (Hon Jian), jangan terlalu berharap.

“Saya cakap lebih baik kita cari rentak permainan semula sebab tahun depan ada banyak lagi kejohanan seperti Malaysia Open,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Terdahulu pasangan yang berada di ranking ke-19 dunia itu, terlepas beberapa kejohanan apabila Hon Jian mengalami kecederaan pada bahagian pinggul ketika sesi latihan pada September lepas.

Dalam pada itu, Haikal ketika ditanya mengenai keadaan terkini Hon Jian, berkata pemain itu sudah mula menjalani latihan penuh sejak dua minggu lalu.

Malah, pemain kelahiran Kelantan itu juga mengakui tidak sabar untuk kembali ke gelanggang bersama gandingannya dan akan berusaha memberikan aksi terbaik di Masters Korea yang akan bermula dari 5 hingga 10 Nov ini di Iksan.

“Saya memang tidak sabar untuk menyertai kejohanan kerana sudah lama tidak beraksi sejak China Open. Harapnya di kejohanan itu, saya dan Hon Jian dapat memberikan yang terbaik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan