SUKAN > BERITA

SOJC: Australia Belasah Malaysia 9-3

25/10/2024 11:27 PM

JOHOR BAHRU, 25 Okt (Bernama) -- Skuad Young Tigers menamatkan pusingan liga tanpa sebarang mata selepas dibelasah Australia 9-3 pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini hari ini.

Keputusan itu menyaksikan remaja negara kendalian I Vikneswaran berada di kedudukan tercorot dan akan berdepan Jepun bagi penentuan tempat kelima dan keenam esok.

Australia nimbingan Jay Stacy mengutip 10 mata dengan Great Britain dan terpisah dengan jumlah jaringan bakal berentap di pentas final sementara India berdepan New Zealand bagi penentuan kedudukan ketiga dan keempat.

Terdahulu, perlawanan malam ini menyaksikan Australia bermula garang dengan melancarkan serangan ke kubu pertahanan sekali gus meletakkan pasukan itu dihadapan hasil gol padang Liam Henderson seawal minit kedua.

Skuad Burras terus mencipta kejutan apabila menggandakan jaringan seminit kemudian menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Dylan Downey.

Tidak menunggu lama, Australia terus melebarkan jaringan hasil pukulan sudut penalti Ian Grobbelaar dan gol padang Jesse Absolom masing-masing pada minit ketujuh dan ke-15.

Skuad remaja negara akhirnya merungkai jaringan selepas Muhammad Danish Danial yang tidak dikawal bertindak menolak masuk ke gawang, selepas menerima hantaran Che Nur Aqilrullah pada minit ke-24 sementara gol kedua hadir lima minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Azimuddin Kamaruddin.

Australia sekali lagi menambah derita skuad remaja negara  dengan dua gol padang yang dijaringkan Toby Mallon pada minit ke-33 dan Daykin Stanger empat minit kemudian.

Babak akhir perlawanan, Malaysia memperoleh gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti Harris Osman pada minit ke-50.

Tiga gol terakhir Australia hadir menerusi penalti strok Liam tiga minit kemudian dan gol padang Patrick Andrew pada minit ke-55 sementara gol padang Lucas Toonen minit ke-60.

Pada tahun lepas, Malaysia menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas menewaskan Afrika Selatan 3-2 pada perlawanan penentuan kedudukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan