SUKAN > BERITA

Pengurus Pasukan B-17 Kebangsaan Letak Jawatan

28/10/2024 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pengurus pasukan bawah-17 tahun kebangsaan (B-17) Christopher Raj meletakkan jawatan serta-merta susulan kegagalan skuad itu melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2025.

Beliau berkata tindakan melepaskan jawatan itu bagi membuka peluang kepada muka baharu menggalas tanggungjawab membawa skuad negara ke peringkat lebih tinggi hingga mencapai misi ke Piala Dunia.

“Kegagalan ini amat pahit untuk ditelan dan amat sedih apatah lagi kita tidak dapat mengulangi kejayaan tahun lepas, menyaksikan skuad negara berjaya layak ke Piala Asia B-17 2023. Saya amat menghargai segala peluang diberikan.

“Pengalaman berkhidmat untuk negara ini amat membanggakan buat saya, yang tidak mungkin dapat dilupakan. Meskipun diakui masih banyak perlu diperbaiki, tetapi saya yakin pengganti saya mampu menjalankan tanggungjawab lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donnel dan Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara Oscar Francisco Gonzalez.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada kesemua pemain teutama ibu bapa pemain yang banyak berkorban memberi sokongan sebagai pemain ke-12. Tidak lupa juga jasa jurulatih Javier Jorda Ribera dan kesemua pegawai kejurulatihan B-17 dan semua pihak yang membantu kami,” katanya. 

Skuad kendalian Ribera gagal melepasi kempen kelayakan apabila hanya meraih satu mata selepas terikat 2-2 dengan Laos di Stadium Nasional Lao KM 16, Vientiane, semalam.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara yang tewas 0-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi pertama, Rabu lepas menamatkan saingan Kumpulan H di kedudukan kedua.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan