SEPANG, 2 Nov (Bernama) -- Pendahulu kejuaraan Jorge Martin kini berada di ambang meraih gelaran juara MotoGP dunia pertamanya selepas memenangi perlumbaan pecut pada Grand Prix (GP) Malaysia 2024 selepas pencabar terdekat Francesco Bagnaia terbabas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.
Bermula dari petak kedua, pelumba Sepanyol dari pasukan Prima Pramac Racing itu menunjukkan dominasi sejak awal dengan memulakan perlumbaan dengan sempurna dan berjaya memintas Bagnaia dari pasukan Ducati Lenovo di selekoh pertama.
Drama berlaku apabila juara bertahan dua kali Bagnaia atau lebih dikenali sebagai Pecco terbabas di selekoh ke-9 pada pusingan kedua dan terkeluar daripada perlumbaan yang berlangsung di bawah cuaca mendung.
Insiden tersebut memberi peluang kepada Martin, 26, untuk terus mendahului perlumbaan10 pusingan itu dengan meyakinkan dan menamatkan perlumbaan dengan masa 19 minit 49.230 saat (s).
Beliau diikuti oleh Marc Marquez dari Gresini Racing MotoGP di tempat kedua (19’50.143s) manakala rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini, melengkapkan kedudukan tiga teratas dengan catatan masa 19’51.240s.
Keputusan hari ini menyaksikan Martin yang kini berada di tangga teratas keseluruhan dengan 465 mata hanya memerlukan perbezaan sembilan mata atau lebih dalam perlumbaan utama esok untuk dinobatkan sebagai juara dunia baharu menjelang pusingan terakhir musim 2024 selepas pusingan Sepang.
Bagaimanapun, perlumbaan terakhir musim yang sepatutnya berlangsung di Valencia, Sepanyol pada 15-17 Nov ini dibatalkan akibat banjir besar dan penganjur dijangka akan mengumumkan lokasi baharu untuk perlumbaan penutup musim tidak lama lagi.
Bagnaia pula kini berada di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan kejuaraan 2024 dengan 436 mata.
Insiden malang itu mencalar prestasi cemerlang pelumba Itali tersebut dalam sesi latihan di Sepang musim ini setelah memecahkan rekod sepusingan baharu di SIC iaitu 1’56.337s dan meyambar petak utama pada perlumbaan sebenar GP Malaysia esok.
Perlumbaan pecut diperkenalkan dalam kelas utama tahun lalu yang merangkumi separuh daripada jumlah pusingan perlumbaan utama esok.
Perlumbaan ini juga menawarkan mata kejuaraan yang diberikan secara berbeza berbanding perlumbaan penuh dengan 12 mata untuk pemenang dan satu mata untuk pelumba di tempat kesembilan teratas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial