SUKAN > BERITA

Bagnaia Tawan Sepang, Gelaran Juara Dunia MotoGP Masih Terbuka

03/11/2024 05:55 PM

SEPANG, 3 Nov (Bernama) -- Juara dua kali MotoGP Francesco Bagnaia menghidupkan peluang mempertahankan kejuaraan dunia selepas berjaya merangkul kejuaraan Grand Prix (GP) Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.

Kemenangan penting ini bukan sahaja menandakan kejayaan ke-10 pelumba kelahiran Itali itu musim ini, malah turut mengurangkan jurang mata dalam kedudukan kejuaraan dunia kepada 24 mata berbanding pendahulu Jorge Martin dari Prima Pramac Racing.

Sebaik sahaja lampu hijau menyala, kekecohan berlaku di selekoh kedua apabila bekas juara dunia Fabio Quartararo dari Monster Energy Yamaha terlibat dalam kemalangan bersama dua penunggang Red Bull KTM, Brad Binder dan Jack Miller.

Insiden tersebut menyebabkan bendera merah dikibarkan dan walaupun tiada pelumba mengalami kecederaan serius, hanya Quartararo meneruskan perlumbaan yang dimulakan semula dengan baki 19 pusingan dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Tidak lama selepas perlumbaan bersambung, Bagnaia dari pasukan Ducati Lenovo dan Martin bertarung sengit yang mengujakan ribuan penonton di litar.

Dengan baki 14 pusingan, Bagnaia memecut sepenuhnya untuk melebarkan jurang dengan pelumba Sepanyol yang digelar sebagai 'The Martinator'.

Pelumba  berusia 27 tahun itu kemudian terus mendominasi litar dan mengekalkan kelajuan yang tinggi, menamatkan perlumbaan dalam masa 38 minit 04.563 saat (s), meninggalkan Martin dengan jurang lebih tiga saat (+3.141s).

Rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini melengkapkan podium dengan perbezaan +10.484s.

Gelaran juara MotoGP 2024 akan ditentukan di perlumbaan penutup tirai musim di mana Martin kini mendahului dengan 485 mata manakala Bagnaia di tempat kedua dengan 461 mata.

Perlumbaan penutup tirai dijadual berlangsung di Litar de Catalunya, Barcelona, Sepanyol  pada 15 Nov hingga 17 Nov selepas pusingan yang sepatutnya berlangsung di Valencia, Sepanyol  pada tarikh berkenaan dibatalkan susulan banjir besar yang melanda daerah berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan