SUKAN > BERITA

Belanjawan 2025: RM10 Juta Untuk Bina Stadium E-Sukan Baharu - Ahmad Zahid

03/11/2024 08:40 PM

ISKANDAR PUTERI, 3 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM10 juta daripada keseluruhan RM20 juta yang diperuntukan bagi pembangunan ekosistem e-sukan menerusi Belanjawan 2025, akan digunakan untuk pembinaan stadium e-sukan baharu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembinaan stadium e-sukan baharu itu, bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan lagi pembangunan industri berkenaan pada masa hadapan.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dalam ucapan pada Belanjawan lepas (18 Okt), beliau telah umumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk e-sukan ini. 

“Daripada jumlah berkenaan, RM10 juta akan digunakan untuk dibangunkan stadium khusus untuk e-sukan, manakala bakinya adalah untuk latihan dan juga aktiviti lain berkaitan dengan e-sukan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Peringkat Akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) di Kompleks Sukan EduCity di sini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Anwar pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, mengumumkan kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dalam industri e-sukan, Sarawak telah mengambil langkah kehadapan dengan membina Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), bagi pembangunan sukan itu.

Beliau berkata langkah yang diambil oleh kerajaan Sarawak juga boleh dicontohi Johor, memandangkan e-sukan tidak hanya dilihat sebagai sukan permainan dalaman semata-mata, bahkan boleh dijadikan sebagai punca pendapatan.

“Semua pihak perlu memanfaatkan ekosistem e-sukan yang semakin berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 12.6 peratus.

“Industri e-sukan berpotensi besar untuk dikembangkan melalui program khas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk kemahiran seperti kewartawanan dan pengulas, produksi penyiaran, pengurusan pasukan, kejurulatihan, penganjuran acara dan kerja-kerja teknikal,” katanya.

Terdahulu, acara peringkat akhir MPLMY perlawanan antara Vamos (VMS) dan Selangor Red Giants (SRG), disaksikan lebih 2,000 pengunjung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan