KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Skuad hoki wanita kebangsaan telah dipersiapkan dengan latihan berintensiti tinggi di bawah tekanan menjelang Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 yang akan membuka tirai 11 Nov ini di Rajgir, India.
Ketua jurulatih skuad hoki wanita Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata pendekatan itu diambil kerana mengakui anak buah kendaliannya berdepan masalah tidak mampu mengekalkan momentum ketika berdepan tekanan ketika perlawanan menjadikan skuad negara mudah ditewaskan pasukan lawan.
“Kita kekurangan minda perjuangan, jadi kita sudah beri latihan berintensiti tinggi, dan bagi main perlawanan yang pemain berdepan tekanan, kita mahu mereka tunjukkan, walau apa pun berlaku, mereka akan kekal berjuang sampai habis.
“Pertandingan kali ini pasti lebih sukar, kita mahu sasarkan lima terbaik dan menang perlawanan satu persatu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Hoki Wanita & Pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Kebangsaan di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Nasihin berkata anak buah kendaliannya kini sudah berada di fasa akhir persiapan untuk berdepan perlawanan berprestij yang berlangsung 11-20 Nov itu.
Skuad negara bakal membuka tirai perlawanan ACT Wanita 2024 bertemu tuan rumah India pada 11 Nov, diikuti China (12 Nov), Korea Selatan (14 Nov), Jepun (16 Nov) dan Thailand (17 Nov).
Hanya empat pasukan terbaik layak ke separuh akhir.
Mohd Nasihin berkata meskipun skuad negara yang diberi julukan Malaysian Tigress itu bertemu laluan sukar seawal perlawanan pertama, ia juga merupakan peluang terbaik untuk pasukan berusaha keras memberi tentangan sengit kepada skuad gergasi hoki dunia itu.
“Tahun lepas jumpa India kalah 0-5, tapi ada banyak tambah baik berbanding 2022 0-9, perlahan-lahan kita bina skuad, kalau menang memang bonus, tentu akan cuba mendapatkan keputusan yang baik, tapi kita juga perlu berpijak di bumi nyata, kita tahu ranking Malaysia di mana, jadikan ini pengalaman berharga,” katanya.
Tahun lepas Malaysia mengakhiri kempen kejohanan pada kedudukan kelima selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Thailand dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam di Ranchi, India.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial