SUKAN > BERITA

Kerja Naik Taraf Kompleks Sukan Labuan Siap Menjelang Oktober 2025 - Hannah

09/11/2024 09:09 PM

LABUAN,9 Nov (Bernama) --Projek naik taraf Kompleks Sukan Labuan bernilai RM20 juta berada di landasan yang tepat untuk disiapkan menjelang Oktober tahun depan walaupun menghadapi cabaran dalam mendapatkan bahan binaan, menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata projek tersebut melibatkan beberapa kontraktor sedang dipantau dengan teliti oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan bagi memastikan kemajuan kekal  stabil.

"Pembinaan kemudahan baharu serta naik taraf dewan serbaguna, trek larian dan padang sedang berjalan meskipun menghadapi kesukaran mendapatkan bahan dari tanah besar Sabah dan Semenanjung Malaysia.

"Kami memahami cabaran dalam mendapatkan bahan, namun JKR akan terus memastikan projek ini kekal mengikut jadual," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek tersebut hari ini.

Beliau berkata permintaan daripada persatuan renang tempatan untuk kolam renang baharu di dalam kompleks itu akan diserahkan kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan.

Hannah menekankan kepentingan menyiapkan projek ini mengikut jadual kerana ia penting untuk penduduk tempatan, atlet dan pembangunan sukan.

"Sebarang kelewatan atau lanjutan boleh meningkatkan kos yang kami cuba elakkan," katanya.

Pengarah JKR Labuan Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata projek yang bermula pada Disember 2021 itu kini telah mencapai 65 peratus siap.

"Kami menyelia setiap fasa dengan teliti, menyedari halangan yang dihadapi kontraktor. Namun begitu, kami komited untuk memastikan projek ini disiapkan tepat pada masanya," katanya.

Projek ini melibatkan pembinaan baharu dan pengubahsuaian termasuk bangunan dewan, padang bola sepak, trek larian, perobohan kolam renang yang terbiar serta naik taraf gelanggang tenis dan bumbung grandstand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan