KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Gergasi bola sepak tanah air Johor Darul Ta’zim (JDT) berhadapan laluan mudah dalam misi mempertahankan Piala Malaysia, selepas diundi bertemu pasukan Liga A1 Semi Pro, Kuala Lumpur Rovers, pada pusingan 16 edisi 2024/2025.
Menerusi majlis undian dijalankan malam ini, final ulangan 2021 mungkin menjadi realiti sekiranya JDT yang muncul juara sebanyak empat kali mara ke suku akhir, dengan syarat Kuala Lumpur City FC menumpaskan juara lima kali Kedah Darul Aman FC, dalam satu lagi aksi pusingan 16.
Juara 33 kali Selangor FC pula bakal membuat perhitungan dengan juara empat kali Sri Pahang FC, manakala juara lapan kali Perak FC pula akan menentang Kelantan Darul Naim FC.
Laluan mudah turut menanti naib juara musim lepas Terengganu FC, yang akan memburu slot ke suku akhir menentang skuad dari Liga A1 Semi Pro Melaka FC, manakala juara tiga kali Negeri Sembilan FC pula akan berentap dengan PDRM FC.
Perlawanan lain melibatkan Penang FC melawan Kuching City FC, manakala naib juara tiga kali Sabah FC diundi berhadapan satu lagi pasukan Liga A1 Semi Pro PT Athletic FC.
Perlawanan pusingan 16 yang akan dijalankan secara timbal balik bermula 20 Nov ini.
Saingan suku akhir dan separuh akhir juga akan dijalankan secara timbal balik, manakala venue final yang dijadual berlangsung April depan pula bakal ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kelak.
Pasukan yang gagal meloloskan diri ke suku akhir Piala Malaysia kali ini bakal beraksi pada Piala Cabaran MFL 2024/2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial