SEPANG, 12 Nov (Bernama) -- Penyerang naturalisasi Sergio Aguero tekad memastikan dirinya mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2024 bulan depan.
Pemain Sri Pahang FC itu meluahkan rasa bangga dan terujanya ketika mewakili Malaysia dua tahun lepas yang menyaksikan pasukan kebangsaan mara ke separuh akhir dengan beliau turut menjaringkan dua gol.
"Saya sentiasa berharap untuk berada di sini (bersama skuad). Saya akan cuba memberikan yang terbaik buat skuad kebangsaan dan juga untuk disenaraikan ke Piala AFF 2024.
“Saya sangat berharap untuk dipanggil kerana dalam edisi lepas, saya berpeluang bermain dan rasa sangat gembira,” kata penyerang berusia 30 tahun itu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum pasukan kebangsaan berlepas ke Bangkok, Thailand hari ini.
Pasukan kebangsaan di bawah kendalian Pau Marti Vicente dijadualkan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Laos di Stadium PAT, Bangkok pada Khamis ini sebelum berdepan India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, 18 Nov.
Selepas tewas dalam dua perlawanan persahabatan bulan lepas, Aguero bersemangat untuk membantu Malaysia bangkit dengan matlamat memperbaiki ranking pasukan dan membawa kegembiraan kepada penyokong.
“Kami mahu meraih enam mata dan saya harap dapat melakukannya dan menceriakan peminat. Pasukan berada dalam keadaan bagus dan pemain terbaik sentiasa dipanggil, tentunya pemain lain seperti Romel (Morales) yang cedera akan dirindui, tetapi ada pemain lain yang bersedia menggantikannya,” katanya.
Aguero yang telah membuat 10 penampilan untuk Malaysia, kali pertama beraksi pada Disember 2022 dalam kemenangan 4-0 ke atas Kemboja, tetapi terlepas pemilihan untuk Piala Asia 2023 di Doha, Qatar, awal tahun ini.
Penampilan terkini beliau adalah ketika Malaysia menewaskan Taiwan 3-1 dalam perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Perlawanan persahabatan bulan ini menentang Laos dan India turut menyediakan tahap persiapan penting untuk skuad Vicente menjelang Piala AFF 2024.
Malaysia, juara 2010, diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Kemboja, Singapura dan Timor-Leste.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial