SUKAN > BERITA

Mental, Motivasi Pengaruh Prestasi Kem Terjun Di Paris 2024

14/11/2024 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Fakfor mental dan motivasi dilihat mempengaruhi prestasi kem terjun negara pada Sukan Olimpik Paris 2024, kata Pengarah Teknikal skuad terjun kebangsaan Bryan Nickson Lomas.

Bryan berkata kem terjun negara menerima sokongan penuh bagi mempersiapkan atletnya iaitu Bertrand Rhodict Lises yang membuat debut Olimpik pada usia 19 tahun dan penerjun elit Nur Dhabitah Sabri.

“Sokongan semua okey, ISN (Institut Sukan Negara) bagi sokongan penuh, (dari segi) kem latihan, pendanaan dan perkhidmatan semua terbaik. Cuma kita rasa kekurangan, terutamanya Rhodict (sebab) ketiadaan kawan-kawan masa kem latihan, dia memang teruja, pertama kali pergi kem latihan di luar negara  tanpa kawan-kawan yang dia biasa, jadi itu salah satu darinya.

“Untuk Bitah (Dhabitah), memang sasaran utama kita nak masuk final, jadi mungkin masa final dia nantikan ‘apa selepas ini?’, dari segi persediaan untuk dia, dorongan akhir itu tak sampai, jadi itulah situasinya,” katanya ketika ditemui pada Sesi Post Mortem Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Di Paris 2024 yang berakhir Ogos lepas, Nur Dhabitah yang layak menerusi kuota tidak digunakan oleh atlet negara lain terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tercorot dalam kalangan 12 penerjun di final acara 3 meter (m) papan anjal wanita.

Manakala penampilan sulung Bertrand Rhodict berakhir dengan kekecewaan apabila gagal mara ke separuh akhir bagi acara 10m platform lelaki selepas atlet berusia 19 tahun itu sekadar menduduki tempat ke-25 daripada 26 peserta di pusingan awal.

Malaysia meraih pingat pertamanya dalam terjun pada edisi London 2012 iaitu gangsa acara 10m platform wanita menerusi Datuk Pandelela Rinong, seterusnya rangkul perak acara 10m platform seirama di Rio 2016 menerusi gandingan Pandelela-Jun Hoong.

Dalam pada itu, Bryan berkata fokus skuad terjun kebangsaan selepas ini tertumpu kepada Kejohanan Akuatik Dunia Remaja 2024 di Rio de Janeiro, Brazil yang dijadualkan berlangsung dari 24 Nov sehingga 1 Dis ini sebelum memberikan fokus kepada Kejohanan Akuatik Dunia 2025.

“Untuk kejohanan akuatik dunia remaja, kita hantar tujuh penerjun, lima lelaki dan dua perempuan, dari segi MQS (Mata Kelayakan Minima) ada yang capai, ada (juga) yang diberikan peluang berdasarkan prestasi di SUKMA (Sukan Malaysia) terutama perempuan sebab kita nak bagi lebih banyak peluang kepada mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan