PETALING JAYA, 16 Nov (Bernama) -- Tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dilepaskan daripada pasukan negara menjelang perlawanan persahabatan dengan India Isnin depan memberi bayangan skuad yang bakal dibentuk untuk menghadapi Kejohanan ASEAN 2024.
Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman tidak menolak kemungkinan ia sebagai isyarat bahawa khidmat ketiga-tiga pemain berkenaan tidak akan digunakan pada kejohanan serantau itu yang dijadual bermula bulan depan.
Noor Azman berkata pertemuan dengan India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India itu merupakan persediaan skuad Harimau Malaya untuk mengharungi cabaran Kejohanan ASEAN.
“Kemungkinan (bayangan skuad Kejohanan ASEAN), kita tunggu pengumuman Pau (Vicente) nanti.
“Pelepasan itu tidak jadi isu untuk perlawanan di Hyderabad kerana ia adalah persiapan untuk Kejohanan ASEAN. Balik nanti Pau akan umum pemain yang akan disenaraikan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kopi Pablo Dollah milik legenda bola sepak negara Datuk Dollah Salleh di sini hari ini.
Terdahulu, tiga pemain yang dilepaskan atas permohonan JDT ialah dua pemain pertahanan Matthew Davies dan Muhammad Feroz Baharudin serta pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi, sekali gus menyaksikan hanya 23 pemain berlepas ke India.
Permohonan dibuat JDT susulan jadual pusingan pertama saingan Piala Malaysia 2024/2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu depan.
Malaysia dijadual menentang India dengan misi meraih satu lagi kemenangan selepas anak buah Vicente itu menewaskan Laos 3-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium PAT, Bangkok, Khamis lepas.
Dalam pada itu, Noor Azman mengesahkan Stadium Nasional Bukit Jalil kekal sebagai venue tuan rumah skuad Harimau Malaya pada Kejohanan ASEAN selepas timbul ura-ura gelanggang lain bakal digunakan.
Sementara itu, majlis hari ini menyaksikan Dollah melancarkan minuman kopi 100 peratus buatan tempatan untuk pasaran dalam negara, bertujuan memberi pengalaman berbeza dengan cita rasa tersendiri.
“Kopi Pablo Dollah lebih daripada minuman. la mewakili hati dan semangat Malaysia. Matlamat kami adalah untuk menyatukan orang ramai, menyemarakkan hati mereka dengan secawan kopi yang dibuat untuk menikmati rasa kopi sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Presiden FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram serta bekas-bekas pemain kebangsaan yang juga rakan sepasukan Dollah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial