KUALA LUMPUR 21 Nov (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia, berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China bulan depan.
Perkembangan itu disahkan BWF dalam satu hantaran di media sosialnya, sekali gus menyaksikan pemain kelahiran Alor Setar Kedah itu beraksi buat kali ketiga pada kejohanan penamat musim ini, selepas edisi 2020 dan 2021.
Selain Zii Jia, BWF turut memaklumkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2024 di Paris dari Thailand Kunlavut Vitidsarn turut layak ke kejohanan berkenaan, bersama pemain perseorangan wanita Busanan Ongbamrungphan (Thailand), Aya Ohori (Jepun), dan pasangan beregu wanita Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Chaya Pratiwi.
Terdahulu, empat pasangan Malaysia iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei, Pearly Tan-M Thinaah dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, sudah mengesahkan penyertaan mereka pada kejohanan berprestij itu apabila kedudukan mereka dalam kelompok lapan pasangan terbaik telah terjamin bagi kategori masing-masing.
Mengikut format Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF, hanya lapan pemain dan beregu terbaik dalam ranking kelayakan akan beraksi pada kejohanan berkenaan, dengan maksimum dua wakil daripada satu negara bagi setiap kategori.
Pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 pula mendapat tiket automatik menyertai kejohanan berkenaan, meskipun tidak berada dalam kelompok lapan terbaik ranking Jelajah Dunia BWF
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial