SUKAN > BERITA

Tiada Lantikan Ketua Jurulatih, Sabah FC Kekalkan Barisan Kejurulatihan

24/11/2024 06:00 PM

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Sabah FC memutuskan untuk mengekalkan barisan kejurulatihan sedia ada dan tiada lantikan baharu bagi mengisi kekosongan Ketua Jurulatih musim ini menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang tidak menyambung kontraknya berakhir hujung bulan ini.

Pengurus Pasukan Sabah FC Rafie Robert berkata pihak pengurusan serta Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sebulat suara bersetuju terhadap dengan keputusan berkenaan.

"Pihak kejurulatihan sedia ada sudah memahami corak latihan serta taktikal ketika bersama Kim Swee. Kita yakin pemain sedia ada memang sudah serasi dengan corak pendekatan diterapkan kejurulatihan Kim Swee sekali gus berusaha mengekalkan momentum yang diperkenalkan sejak sekian lama.

“Apa yang penting ketika ini, semua pemain perlu bersiap sedia untuk menggalas tugas dengan memastikan sasaran ditetapkan pihak pengurusan dapat direalisasikan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafie berkata pihaknya juga tidak ingin mengganggu atau mengubah apa yang telah diterapkan kepada pemain selama ini.

“Kita mahu semua pihak termasuk pemain perlu menjalani proses latihan seperti biasa, fokus serta mampu mengekalkan momentum kemenangan. Kita tidak mahu mereka terjejas dengan perubahan drastik yang dilakukan sekiranya memerlukan seorang jurulatih dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata ketiadaan Kim Swee merupakan satu kehilangan besar buat pasukan Sabah FC.

“Kita tidak seharusnya terhenti begitu sahaja, malah terus berusaha dengan pihak kejurulatihan sedia ada untuk meneruskan sesi latihan untuk menghadapi perlawanan Piala Malaysia serta Liga Super nanti,” katanya.

Pada perlawanan terakhir Sabah FC semalam dalam saingan Piala Malaysia menentang PT Athletic FC, Sabah FC membariskan pasukan kejurulatihan Mohammad Faisal Ahmad sebagai penolong ketua jurulatih, jurulatih penjaga gol Irwan Jamil, dan jurulatih kecergasan Martin Stano, bersama Kim Swee dalam perlawanan terakhirnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan