KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Legenda skuasy negara Datuk Nicol David mencipta sejarah tersendiri apabila namanya tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Hong Kong, semalam.
Nicol dan bekas juara dunia Jansher Khan dari Pakistan menjadi ahli ketiga dan keempat Dewan Kemasyhuran PSA yang dilancarkan awal tahun ini untuk mengiktiraf pencapaian tokoh-tokoh paling berpengaruh dalam sukan itu, baik yang terdahulu mahupun sekarang.
Kedua-dua ikon sukan itu menerima anugerah semasa malam induksi khas di Hong Kong Football Club.
Dua ahli sulung terpahat nama dalam Dewan Kemasyhuran PSA ialah legenda New Zealand Susan Devoy dan Jahangir Khan dari Pakistan.
Dalam satu hantaran di Instagramnya, Nicol mendedikasikan pengiktirafan tersebut kepada ibu bapa, jurulatih Liz Irving dan Malaysia kerana sentiasa menyokong di sepanjang sepanjang kerjayanya.
"Dimasukkan ke dalam Hall of Fame hari ini (semalam) adalah satu hari yang sangat bermakna. Saya menilai pengiktirafan ini sejak beberapa minggu lalu dan apa ertinya kepada saya dan saya fikir ini secara rasminya menunjukkan yang saya sudah mencipta sejarah yang mana sukar untuk saya percayai.
"Saya rasa selepas ini, saya boleh berasa lega bahawa saya telah melakukan segala yang saya mampu dalam kerjaya saya," katanya.
Legenda berusia 41 tahun itu dianggap sebagai salah seorang pemain skuasy paling berjaya sepanjang masa dengan memenangi lapan kejuaraan dunia, lima gelaran Terbuka British serta meraih pingat emas di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Dunia.
Nicol, yang menjadi pemain profesional pada tahun 2000, dipilih sebagai pemain skuasy wanita terbaik sepanjang masa dalam satu tinjauan PSA pada tahun 2018, selain menduduki ranking nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut.
Sementara itu, dalam hantaran yang sama, beliau berkata misi terbesar beliau sekarang adalah mengenai yayasannya, Nicol David Organisation, yang bertujuan untuk menyokong kanak-kanak, keluarga dan komuniti di Malaysia.
"Harapan saya agar satu hari nanti usaha ini turut diiktiraf di Malaysia dan di seluruh dunia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial