KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) --Terengganu FC (TFC) terus berada di kalangan pasukan terbaik Liga Super 2024/2025 selepas meraih tiga mata penuh dengan mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.
Skuad Penyu yang mempamerkan dominasi sejak wisel permulaan dibunyikan melancarkan pelbagai serangan awal untuk menguji ketangkasan penjaga gol KDN FC, Mohammad Fikri Che Soh.
Terengganu akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-11 menerusi Muhammad Alif Zakaria yang bijak melepaskan rembatan susulan selepas sepakan percuma kapten pasukan Muhammad Safawi Rashid terkena benteng pertahanan Kelantan.
Pada babak kedua, gol susulan oleh Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang dihasilkan daripada sepakan Safawi Rashid yang terkena tiang gol pada minit ke-58 telah dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Namun, Safawi Rashid, tidak mensia-siakan peluang apabila bijak menyambut umpanan daripada Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-65 untuk menggandakan kelebihan gol buat Terengganu.
Ketika Terengganu hampir pasti menutup peluang Kelantan untuk mencipta jaringan, Oday Ali Abdalrahim Kharoub berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada saat akhir perlawanan (90+5).
Keputusan itu menyaksikan Terengganu kekal di kedudukan keempat dengan mengumpul 24 mata, hanya dua mata di belakang pasukan tangga ketiga, Sabah.
Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), hasrat Perak FC untuk melakar kemenangan kedua di laman sendiri tidak kesampaian apabila terikat 1-1 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Sebaik babak pertama bermula, kedua-dua pasukan tampak seimbang apabila mengatur gerakan bagi mencari gol awal dengan tuan rumah lebih banyak mencipta peluang namun gagal menghasilkan gol.
Bersambung babak kedua, anak buah Yusri Che Lah terus menggandakan asakan dan berjaya menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-71 menerusi Clayton Da Silva selepas pengadil perlawanan Mohd Fusser Mad Sallih memberikan sepakan penalti melalui VAR.
Tersentak dengan jaringan itu, pengendali (KDA) FC Victor Andrag mengubah taktikal perlawanan dan akhirnya berjaya menghasilkan gol penyamaan menerusi Amirul Hisyam Awang Kecik pada masa kecederaan (90+2).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial