SUKAN > BERITA

BOLA SEPAK MALAYSIA DI FASA TRANSISI

12/12/2024 08:13 AM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Tahun 2024 menjadi detik penting buat pasukan bola sepak negara yang dalam fasa transisi untuk mengekalkan momentum kebangkitan sambil bersaing di pentas lebih berprestij bagi membina semula legasi skuad Harimau Malaya.

Di bawah kendalian Kim Pan Gon yang memasuki tahun ketiga mengemudi pasukan negara, Malaysia menunjukkan peningkatan prestasi dan identiti bola sepak tanah air, namun cabaran sebenar masih terletak pada kemampuan untuk bersaing dengan kuasa besar Asia.

Pencapaian terbesar tahun ini adalah penyertaan Malaysia di Piala Asia 2023 di Doha, Qatar, iaitu kejohanan yang telah mengukur sejauh mana kemampuan sebenar skuad kebangsaan untuk menyaingi pasukan elit Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Iran dan Arab Saudi.

Malaysia yang membuat penampilan keempat dan kemunculan pertama sejak menjadi tuan rumah bersama edisi 2007, mendapat sokongan padu penyokong yang dahagakan aksi skuad Harimau Malaya di pentas kejohanan berprestij serta liputan media yang meluas.

Di sebalik harapan untuk melihat pasukan kesayangan meloloskan diri ke pusingan kalah mati, anak buah Pan Gon dibarisi pemain tempatan, warisan dan naturalisasi mengakhiri saingan di kedudukan tercorot Kumpulan E tanpa sebarang kemenangan selepas tumpas 0-4 kepada Jordan dan 0-1 di tangan Bahrain.

Namun, pasukan negara mencipta memori yang hebat apabila mengikat juara dua kali Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir kumpulan yang penuh dramatik di Stadium Al Janoub dengan jaringan pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim pada aksi itu dipilih sebagai Gol Terbaik kejohanan.

Entah di mana silapnya, peluang dan pengalaman bermain di Qatar sepatutnya mencetus kebangkitan pasukan lebih hebat tetapi meleset jauh daripada jangkaan.

Selepas memenangi dua perlawanan pertama menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di sini dan mengatasi Taiwan 1-0 di Taipei, Malaysia mendahului saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menjelang penampilan bersejarah di Piala Asia 2023.

Malangnya, anak buah Pan Gon terlepas slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 lebih awal selepas menamatkan saingan kumpulan di tempat ketiga, mengumpul 10 mata di belakang juara Oman (13) dan Kyrgyzstan kedua (11).

Pasukan negara tewas 0-2 dalam dua perlawanan bertemu Oman di Muscat dan di sini sebelum seri berdepan Kyrgyzstan (1-1) di Bishkek dan menang 3-1 ke atas Taiwan.

Berdasarkan kutipan mata keseluruhan, Malaysia boleh dikatakan tidak bernasib baik berbanding Indonesia yang mengumpul 10 mata, Korea Utara (sembilan), China (lapan), Palestin (lapan) dan Kuwait (tujuh) yang layak sebagai naib juara kumpulan masing-masing.

Lebih menyedihkan, kira-kira sebulan sebelum menentang Kyrgyzstan di Bishkek, skuad Harimau Malaya kehilangan nadi pasukan selepas Mohamad Faisal menjadi mangsa simbahan asid yang hampir meragut nyawanya dalam satu serangan di pusat beli-belah di Petaling Jaya ketika keluar bersama keluarga pada 5 Mei.

Insiden berkenaan memaksa beliau berehat panjang untuk pulih dan masih belum kembali bersama pasukan negara sejak itu setakat ini, namun sudah kerap diturunkan bersama Selangor FC dalam saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2) 2024/2025.

Bagai jatuh ditimpa tangga, satu kejutan berlaku pada 15 Julai apabila Pan Gon meletak jawatan sebagai ketua jurulatih atas faktor peribadi, meninggalkan barisan kejurulatihannya kekal mengendalikan pasukan dengan penolongnya Pau Marti Vicente diangkat sebagai pengendali sementara.

Pada September, Vicente berjaya membawa pasukan Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 2024 dengan menewaskan Filipina 2-1 pada aksi separuh akhir dan mengatasi Lubnan 1-0 di pentas final tatkala penyokong tegar, Ultas Malaya melancarkan boikot atas faktor tertentu.

Dalam tiga perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 terakhir pula, Malaysia tewas 0-4 di tangan New Zealand di Auckland pada Oktober sebelum bangkit menewaskan Laos 3-1 di Bangkok dan mengikat India 1-1 di Hyderabad masing-masing pada November.

Di sebalik pelbagai khabar angin dan spekulasi termasuk melibatkan posisi ketua jurulatih, Vicente dijangka kekal membawa skuad Harimau Malaya bersaing pada Kejohanan ASEAN 2024 yang akan bermula Disember ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan memulakan saingan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 Dis, diikuti  Timor-Leste di sini (11 Dis) sebelum bertemu juara bertahan Thailand di Bangkok (14 Dis) dan melayani kunjungan Singapura (20 Dis).

Bagaimanapun, fokus sebenarnya tertumpu kepada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan bermula Mac tahun depan. Pada saingan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos.

Sementara itu, prestasi pasukan muda negara turut mengecewakan apabila skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan terkandas di pusingan awal Piala Asia B-23 2024 pada April, selepas menduduki tempat tercorot dalam Kumpulan D dan kalah ketiga-tiga perlawanan.

Di bawah kendalian Juan Torres Garrido, pasukan negara tewas 0-2 kepada Uzbekistan, 0-2 di tangan Vietnam dan 1-2 ketika berdepan Kuwait sekali gus mengulangi kegagalan sama pada edisi 2022 apabila tidak berjaya meraih sebarang mata.

Keberkesanan usaha pembangunan pemain di peringkat akar umbi turut menjadi kebimbangan apabila skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan di bawah bimbingan Garrido, gagal melayakkan diri ke Piala Asia B-20 2025 selepas menduduki tempat keempat dalam saingan Kumpulan E pusingan kelayakan di Dushanbe, Tajikistan.

Skuad Harimau Malaya Bawah 16 Tahun (B-16) kendalian Javier Jorda Ribera juga tidak berjaya melayakkan diri ke Piala Asia B-17 2025 selepas menamatkan saingan Kumpulan H pusingan kelayakan di posisi kedua di Vientiane, Laos pada Oktober.

Keputusan hampa yang disajikan pasukann negara menandakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menggandakan usaha untuk tidak sekadar mengambil bahagian tetapi menempatkan diri dalam kalangan yang memburu kejuaraan.

FAM turut mengalami tahun penuh cabaran dengan kemuncaknya apabila terpalit dengan pelbagai dakwaan serius menerusi satu ‘surat layang’ membabitkan isu kepimpinan dan pengurusan badan induk itu.

Di peringkat domestik, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dibimbing Hector Bidoglio terus unggul dengan rekod kejayaan hebat apabila menjulang Piala Sumbangsih dan merangkul kejuaraan Piala FA buat kali ketiga berturut-turut selepas menumpaskan Selangor 6-1. 

Sementara itu, masalah tunggakan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan masih membelenggu arena bola sepak tempatan dan situasi dijangka semakin meruncing hingga mampu menjejaskan jumlah pasukan bertanding dalam Liga Super musim depan.

Pada September, badan bebas Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) mengenakan denda RM15,000 serta- merta terhadap tiga kelab Liga Super yang sedang berdepan isu tunggakan bayaran gaji.

Arena bola sepak tanah air kehilangan dua permata apabila legenda Khalid Ali meninggal dunia selepas kira-kira setahun bertarung dengan kanser paru-paru pada Februari sebelum Mohd Azraai Khor Abdullah menghembuskan nafas terakhir selepas diserang strok dua hari kemudian.

Dengan pelbagai cabaran dan pencapaian, 2024 menjadi ‘cermin’ untuk bola sepak Malaysia memperbaiki segala kelemahan.

FAM disarankan memperkukuh pembangunan pemain muda dan memastikan organisasi yang lebih mantap untuk masa depan lebih cerah dengan harapan tetap tinggi untuk menyaksikan skuad kebangsaan berjaya layak ke Piala Asia 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan