SUKAN > BERITA

PETER CKLAMOVSKI PENGENDALI BAHARU SKUAD HARIMAU MALAYA, NAFUZI GALAS TUGAS BERSAMA SKUAD B-23

16/12/2024 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski dari Australia hari ini diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan yang baharu dalam memastikan skuad Harimau Malaya mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 dan memanjat naik ranking dunia ke kedudukan 100 terbaik.

Cklamovski akan memulakan tugasan secara rasmi bermula 1 Jan 2025.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan Cklamovski sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan pasukan negara dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027, Mac tahun depan.

"Beliau (Cklamovski) hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap demi memastikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya diberi tunjuk ajar yang sebaiknya, sekali gus dapat meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka untuk beraksi di perlawanan peringkat antarabangsa.

"Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia," demikian menurut kenyataan FAM hari ini.

Pengendali berusia 46 tahun itu pernah bekerja lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai Liga J1 (Liga Jepun) pada musim 2019 ketika mereka mengemudi Yokohama F. Marinos.

Cklamovski mengembangkan kariernya sebagai ketua jurulatih apabila dilantik sebagai pengurus kelab Liga J1, Shimizu S-Pulse pada 2020 sebelum beliau mengambil cabaran untuk menjadi pengurus kelab Liga J2, Montedio Yamagata pada 2021 dan berjaya menyelamatkan kelab itu daripada zon penyingkiran dan layak ke perlawanan 'playoff' ke Liga J1.

Beliau dilantik sebagai pengurus FC Tokyo pada Jun 2023 dan berjaya memberi impak segera menerusi penerapan identiti bola sepak penuh berinspirasi yang menghasilkan kejayaan serta memberikan keterujaan kepada penyokong.

Sementara itu, bekas pengendali Kedah Darul Aman FC, Mohd Nafuzi Zain dilantik sebagai Ketua Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan yang baharu dengan misi memastikan kesinambungan dalam pasukan muda yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat berpotensi untuk dinaikkan ke skuad senior.

"Kredibiliti Nafuzi yang kini berusia 46 tahun juga ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 kebangsaan yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa.

"Dengan kehadiran Nafuzi ini, pastinya tugasan penting untuk skuad B-23 kebangsaan pada tahun 2025 adalah untuk kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand," menurut kenyataan itu.

Mohd Nafuzi juga akan memulakan tugasan rasmi bersama pasukan bermula 1 Jan depan.

Dalam pada itu, FAM turut menjelaskan Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan perubatan berpengalaman baharu akan dilantik bagi membantu penstrukturan semula FAM untuk memastikan perjalanan operasi organisasi berjalan dengan lebih cekap serta profesional.

"Pasukan perubatan akan mula menggunakan teknologi-teknologi terkini untuk membantu memastikan para pemain Harimau Malaya sentiasa mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan yang terbaik.

Langkah-langkah ini juga diharapkan dapat meningkatkan kualiti pengurusan serta memperkukuh kecergasan pemain dan membantu pemulihan pemain serta memaksimumkan potensi mereka," menurut kenyataan itu.

Pelantikan Cklamovski dan Mohd Nafuzi sekali gus melengkapkan teka-teki berhubung khabar angin mengenai revolusi dan penstrukturan baharu skuad Harimau Malaya sejak akhir-akhir ini.

Sebagai rekod, Cklamovski akan menggantikan ketua jurulatih sementara Pau Marti Vicente dari Sepanyol yang sedang membimbing pasukan dalam kempen Piala ASEAN 2024 ketika ini, sementara Mohd Nafuzi menggantikan seorang lagi jurulatih dari Sepanyol, Juan Torres Garrido.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan