SUKAN > BERITA

Isu Pertaruhan: Penglibatan Daren, Jerry Cemarkan Reputasi Badminton Negara - Rashid

21/12/2024 01:46 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek meluahkan rasa terkilannya terhadap penglibatan bekas pemain perseorangan lelaki Liew Daren dan penganalisis Institut Sukan Negara Jerry Gan dalam kegiatan pertaruhan.

Rashid yang sememangnya mengenali Daren dan Jerry sama sekali tidak menyangka bahawa mereka sanggup melibatkan diri dalam gejala tidak sihat sehingga mencalarkan reputasi Malaysia dalam arena sukan badminton dunia.

“Daren seorang pemain yang mempunyai personaliti bagus. Saya pernah melatihnya dahulu lebih 10 tahun termasuk ketika beliau bergelar pemain sandaran di Persatuan Badminton Malaysia, namun tidak sangka dia buat sebegini.

“Saya sedih (isu pertaruhan berlaku) dan sedikit sebanyak imej Malaysia tercalar lagi, tiba-tiba nama Malaysia sekali lagi jadi tumpuan dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah menggantung Daren selama 12 bulan dan Jerry pula tiga bulan selepas mereka didapati bersalah terbabit dalam kegiatan pertaruhan.

BWF mengesahkan Daren terbabit dalam aktiviti pertaruhan dari tahun 2018 hingga 2021 dan berusaha menghalang siasatan dengan menyembunyikan maklumat.

Walaupun penggantungan itu tidak memberi sebarang makna kepada Daren yang telah bersara tahun lepas, namun Rashid berkata isu pertaruhan berkenaan menconteng arang di muka bekas pemenang pingat gangsa kejohanan dunia 2018 itu.

Rashid pada masa sama berkata skandal itu sudah semestinya menjejaskan karier Jerry sehingga berkemungkinan berdepan isu ketidakpercayaan pihak yang menggunakan khidmatnya selepas ini.

Beliau yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 berharap agar isu pertaruhan tidak berulang lagi dalam sukan badminton tanah air pada masa depan.

Sementara itu seorang lagi bekas pemain negara Datuk James Selvaraj yang mengakui “bingung” dengan penglibatan Daren, menasihati pemain negara agar tidak terjerumus ke dalam kancah yang berpotensi merosakkan karier mereka.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM itu berkata mana-mana pemain perlu menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti pertaruhan kerana perkara berkenaan sangat berbahaya sehingga berpotensi menyebabkan ketagihan kepada mereka yang terlibat.

Penganalisis sukan Mohd Sadek Mustafa pula berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dapat menjalankan siasatan dalam sukan badminton tanah air bagi mengenal pasti sama ada gejala pertaruhan sedang menular atau tidak.

“BAM dan kelab profesional perlu mengambil langkah sewajarnya terhadap pemain untuk menilai sejauh mana seriusnya masalah ‘barah’ pertaruhan dalam sukan badminton di Malaysia,” katanya.

Arena badminton negara sebelum ini pernah digemparkan dengan isu melibatkan dua bekas pemain negara Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang yang didapati bersalah oleh BWF kerana mengatur perlawanan pada 2018.

Zulfadli dan Chun Seang masing-masing dikenakan hukuman gantung 20 tahun dan 15 tahun daripada terlibat dalam sukan badminton.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan