KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengingatkan semua atlet negara tanpa mengira jenis sukan agar tidak mengambil jalan singkat untuk mendapatkan duit dan kekayaan dengan terlibat dalam salah laku seperti rasuah mahupun mengatur perlawanan.
Beliau berkata kemenangan dalam sukan harus dicapai dengan bermaruah dan integriti agar kejayaan yang dikecapi dapat dibanggakan dan dihormati.
“Kita selalu amalkan Kod Sukan Selamat jadi saya berharap perkara (berlaku baru-baru ini) sebagai pengajaran. Saya minta atlet kita jangan terpengaruh perkara seperti ini dan jangan ambil jalan singkat dapatkan duit untuk cepat kaya.
“… dan untuk KBS (Kementerian Belia dan Sukan) kita memang sudah berbincang bermula tahun lepas dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk melihat bagaimana kita nak pastikan bukan sahaja badminton tetapi semua sukan bebas daripada rasuah dan mengatur perlawanan,” katanya.
Hannah berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Liga Bolasepak Wanita Nasional (LWN) 2024 di Stadium Merdeka di sini malam tadi.
Pada Jumaat lepas, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah menggantung bekas pemain perseorangan lelaki Liew Daren dan penganalisis Institut Sukan Negara (ISN) Jerry Gan, masing-masing selaman 12 dan tiga bulan selepas mereka didapati terbabit dalam kegiatan pertaruhan.
BWF mengesahkan Daren terbabit dalam aktiviti pertaruhan dari 2018 hingga 2021 dan berusaha menghalang siasatan dengan menyembunyikan maklumat.
Sementara itu mengenai LWN 2024, Hannah mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas penganjuran disifatkannya berjaya dan mempunyai ‘pengikut’ tersendiri pada edisi tahun ini.
“Geran Padanan Sukan kita akan bagi satu persatuan jadi kebiasaanya FAM akan mohon untuk dana sekali tetapi kami sudah ubah syarat pada 2025, iaitu persatuan boleh mohon lebih daripada sekali.
“Jadi saya harap pasukan wanita akan guna peluang dapatkan dana untuk jayakan Liga Wanita Nasional dengan lebih meriah,” katanya.
Hannah berharap lebih banyak penaja sudi bekerjasama untuk membantu pasukan wanita yang berpotensi mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa selain memaklumkan Stadium Nasional Bukit Jalil telah ditawarkan untuk latihan dan perlawanan pasukan wanita jika diperlukan.
Pada LWN 2024 yang disertai lapan pasukan, Kelana United FC muncul juara selepas mengungguli carta kedudukan diikuti Sabah di tempat kedua dan Selangor FC ketiga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial