SUKAN > BERITA

Pearly-Thinaah Tekad Bawa Momentum Positif Dari Final Jelajah Dunia 2024 Ke Musim 2025

24/12/2024 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Gandingan beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah mungkin agak lewat menemui rentak permainan mereka dalam Final Jelajah Dunia (WTF) 2024 yang berakhir baru-baru ini di Hangzhou, China, tetapi mereka berazam untuk membawa momentum positif itu ke musim 2025.

Walaupun tewas semua perlawanan Kumpulan A di WTF 2024, Pearly memilih perlawanan terakhir mereka menentang gandingan nombor satu dunia dari China Liu Sheng Shu-Tan Ning sebagai detik penting untuk membina peningkatan dan berharap dapat membawa tenaga itu ke Terbuka Malaysia 2025 bulan depan.

Pearly-Thinaah berjuang habis-habisan sebelum tewas 9-21, 21-18, 18-21 kepada pasangan tuan rumah pada pertandingan akhir musim yang diadakan di Gimnasium Olimpik Hangzhou.

“Kita masih berfikiran positif, walaupun tak dapat keluar dari kumpulan, tapi pada perlawanan terakhir kami dapat cari rentak permainan dan harap dapat kekalkan momentum untuk Terbuka Malaysia 2025.

“Di tempat sendiri kami harap dapat main paling baik. Tidak kira menang atau kalah, kami hanya mahu memberikan persembahan yang terbaik untuk dinikmati penonton,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Pearly-Thinaah membuka kempen WTF ketiga mereka dengan langkah kiri apabila mereka tewas kepada pasangan utama Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-13, 17-21, 18-21 dan mengalami satu lagi kekalahan kepada Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela dari India 19-21, 19-21.

Pearly juga berharap untuk kekal cergas dan sihat serta menambah baik permainan mereka untuk mengharungi cabaran baharu musim depan.

Sementara itu, Thinaah memilih keputusan memberangsangkan dalam Sukan Olimpik pertama mereka di Paris 2024 serta memenangi Terbuka Hong Kong sebagai acara menonjol musim ini.

Pearly-Thinaah mencipta sejarah apabila menjadi pasangan beregu wanita pertama Malaysia mara ke separuh akhir di Sukan Olimpik.

Bagaimanapun, mereka terlepas peluang untuk mara ke perlawanan akhir apabila tumbang kepada beregu China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 12-21, 21-18, 15-21.

Mereka menamatkan penampilan sulung di Sukan Olimpik di tempat keempat apabila tewas kepada Matsuyama-Shida 11-21, 11-21.

Pasangan nombor enam dunia itu merangkul kejuaraan tunggal di Terbuka Hong Kong 2024 apabila mereka mengejutkan Sheng Shu-Tan Ning 21-14, 21-14 serta memperoleh dua gelaran naib juara tahun ini iaitu pada Terbuka Korea 2024 dan Terbuka Artik 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan