SUKAN > BERITA

FAM Umum Bekas Pemain Kanada Rob Friend Sebagai CEO Pasukan Kebangsaan

31/12/2024 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menamatkan teka-teki panjang apabila mengumumkan bekas pemain kebangsaan Kanada Robert Douglas Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya.

FAM dalam kenyataan memaklumkan Friend atau lebih dikenali Rob Friend yang disifatkan sebagai peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi pasukan kebangsaan akan memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM di Kelana Jaya, bulan depan.

“Beliau (Rob Friend) banyak terlibat dalam menerajui penubuhan dan pembangunan strategik kelab, stadium dan pusat latihan, menyelia semua aspek operasi kelab, pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan serta pengurusan kewangan yang membawa kepada peningkatan ketara terhadap nilai kelab terbabit.

“Pelbagai pengalaman dimiliki beliau sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diharap mampu memberi satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 pada tempoh permulaan ini,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, FAM menjelaskan Rob Friend juga akan memastikan struktur organisasi baharu dilengkapi dengan tenaga kerja berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap.

Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Rob Friend yang bakal berusia 44 tahun bulan depan hadir dengan portfolio memberangsangkan menerusi penglibatannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014.

Beliau bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari tahun 2014 sehingga kini.

Dari tahun 2017 hingga 2021, beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan keluar dengan penuh berjaya apabila peningkatan modal syarikat berkenaan mencecah AS$150 juta (RM670 juta).

Beliau juga adalah rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan bermula dari tahun 2019 sehingga sekarang.

Antara penglibatan terbesar beliau ialah menjadi pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga itu sehingga US$300 juta (RM1.34 bilion) dalam tempoh enam tahun.

Selain itu beliau pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari tahun 2019 hingga 2022 serta sebagai Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC (2022 hingga kini).

Sementara itu sebagai pemain Rob Friend yang beraksi di bahagian serangan antaranya pernah mewakili kelab Jerman Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt dan 1860 Munich serta kelab Amerika Syarikat LA Galaxy.

Di peringkat antarabangsa, beliau telah mengumpul sebanyak 32 penampilan bersama Kanada bermula dari tahun 2003 sehingga 2011.

Pada 16 Dis lepas FAM mengumumkan Peter Cklamovski dari Australia sebagai ketua jurulatih kebangsaan, manakala Mohd Nafuzi Zain menjadi ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan berkuat kuasa esok (1 Jan).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan