PETALING JAYA, 2 Jan (Bernama) -- Jaguh tenpin boling wanita negara Natasha Mohamed Roslan menganggap misinya ke venue baharu Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong kali ini membawa misi serampang dua mata.
Kunjungannya ke Pusat Tenpin Boling Top Bowl, Kai Tak Sports Park, Kowloon itu bukan sahaja untuk memastikan membawa pulang pingat Piala Dunia buat negara tapi juga menjadi medan pemanas badan terbaik dalam usahanya mempertahankan gelaran Juara Dunia yang dimenanginya pada edisi 2023 di Kuwait.
Kejohanan Tenpin Boling Piala Dunia akan diadakan pada 5 hingga 14 Jan manakala Kejohanan Dunia pula berlangsung pada 24 Nov hingga 6 Dis.
“Sekiranya dapat main di situ, kita sudah tahu keadaan suhu sama ada panas atau sejuk.
“Kesemua itu main peranan antaranya saiz ibu jari sama ada longgar atau tidak, ia bergantung kepada suhu ketika di lorong,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan baru-baru ini.
Selain penyertaan acara perseorangan, Natasha juga akan bergandingan dengan Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim dalam acara berpasukan wanita.
Bagi kategori lelaki pula, Malaysia menyenaraikan bekas Juara Dunia Muhammad Rafiq Ismail, Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial