KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneruskan penstrukturan semula untuk revolusi skuad Harimau Malaya dengan melantik seorang lagi pakar dari luar negara.
Terkini, FAM mengumumkan saintis sukan dari Australia Dr Craig Duncan, yang mempunyai pengalaman luas dan kepakaran dalam prestasi manusia sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan bermula bulan ini.
FAM menerusi kenyataan memaklumkan Duncan akan bertanggungjawab dalam mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi, kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan, pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan.
“Sebagai seorang daripada saintis sukan terkemuka Australia, pendekatan Craig yang inovatif dan holistik terhadap pengurusan pemain telah membolehkan pasukan berprestasi tinggi memaksimumkan prestasi dan menurunkan kadar kecederaan dalam atlet profesional mereka,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Duncan mempunyai visi untuk mewujudkan rangka kerja bertaraf dunia dalam sains dan perubatan sukan bagi membolehkan pasukan senior, junior dan wanita negara mencapai kejayaan berterusan sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat di Malaysia.
“Beliau mempunyai misi untuk mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia, meningkatkan prestasi pemain, pemulihan dan daya tahan melalui protokol piawai, program pendidikan dan teknologi termaju.
“Dengan semua perancangan ini, diharap ia mampu menyediakan pasukan kebangsaan kita dengan tahap kesediaan fizikal dan taktikal terbaik, selain aspek berkaitan prestasi tinggi menjadi keutamaan dalam bola sepak Malaysia,” menurut FAM.
Terdahulu, FAM mengumumkan seorang lagi warga Australia, Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan dan menamakan Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) skuad Harimau Malaya pada Selasa.
Duncan merupakan KPE Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009, selain pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014-2018, ketika skuad Socceroos menjulang Piala Asia 2015.
Beliau yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University, turut menggalas tanggungjawab selaku Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini.
Beliau juga merupakan Penasihat di Elite Performance Partners sejak dari 2021 serta pernah menyelia program prestasi tinggi pasukan Iran ketika mereka mara ke separuh akhir Piala Asia 2019.
Duncan pernah berkhidmat bersama Sydney FC apabila mereka memenangi kejuaraan Liga-A, dengan Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014 dan pasukan NSW untuk menamatkan kemarau kejuaraan pada siri State of Origin pada 2014 dan 2018.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial